Sukan Hari Ini

‘Baiki segera!’

Kuala Lumpur: “Tolong lakukan sesuatu.” Itu harapan jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang susulan keadaan di Velodrom Rakyat di Ipoh yang masih belum mendapat sebarang pembelaan.

Velodrom berkenaan tidak dapat digunakan akibat kerosakan teruk terutamanya trek perlumbaan sehingga menyaksikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Persatuan Berbasikal Perak (PCA) tampil mendesak.

Bagi Azizul antara pelumba senior trek negara, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri diharapkan terutamanya dengan khabar yang mengatakan Velodrom Kuala Lumpur di Cheras bakal dirobohkan tidak lama lagi.

“Saya harap kerajaan pusat bersama-sama kerajaan negeri Perak dapat melakukan sesuatu. Seperti kita sedia maklum, velodrom di Cheras akan dirobohkan tidak lama lagi dan atlet lumba basikal trek tidak akan mempunyai tempat berlatih.

“Segala perancangan, latihan dan persiapan untuk kejohanan dan sebagainya sudah tentu akan tergendala dan ini merencatkan perkembangan arena sukan berbasikal negara,” katanya.

Tambah Azizul, Velodrom Rakyat mempunyai nilai sentimental tinggi dengan rakyat Malaysia pernah menyumbangkan wang mereka untuk membaiki velodrom berkenaan.

“Adakah kita mahu menjadikannya kemudahan terbiar yang tidak dapat digunakan dan tidak memberi manfaat kepada orang ramai.

“Saya berharap akan ada inisiatif dari mana-mana pihak berwajib membaiki Velodrom Rakyat supaya ia dapat digunakan atlet berbasikal serta anak muda di luar sana yang berminat dengan sukan ini,” katanya.

PKBM baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai persediaan atlet trek dengan mendakwa Velodrom Kuala Lumpur dijangka dirobohkan pada Disember dan berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil membaikinya.

PKBM mendedahkan kos RM4 juta diperlukan untuk menggantikan papan di trek perlumbaan namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan tiada peruntukan segera kerana ia sudah dipohon untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang bermula tahun depan.

Malah Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Brian Cookson menerusi satu kenyataan kelmarin menggesa kerajaan memainkan peranan membaikinya.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");