Jenayah

Bongkar kegiatan pecah rumah

KUANTAN: Polis berjaya membongkar satu kegiatan pecah rumah didalangi seorang lelaki susulan penahanan suspek di hadapan sebuah rumah tamu di Lorong Sri Kuantan, di sini, awal pagi kelmarin.

Susulan penahan suspek itu, polis berjaya mengesan dan menahan seorang rakannya di sebuah rumah di Jalan Seri Kuantan kerana disyaki bersubahat membantu menyimpan sebuah komputer riba disyaki hasil kegiatan jenayah itu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, serbuan ke atas rumah tersebut, pihaknya turut menahan dua wanita warga asing kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Menurutnya, kejayaan tangkapan itu susulan tindakan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kuantan dan Air Putih yang melakukan tangkapan ke atas suspek pertama setelah dia dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah tamu di Lorong Sri Kuantan di sini.

“Dalam kejadian jam 1 pagi itu, suspek dipercayai sedang memantau keadaan untuk melakukan jenayah ke atas kediaman penduduk yang dikenal pasti.

“Bagaimanapun hasrat jenayahnya itu terhalang apabila dia ditahan untuk pemeriksaan sebelum identitinya terbongkar setelah dia disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah di kawasan itu sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek dibawa balik ke balai dan hasil soal siasat, lelaki itu mengaku terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan mendedahkan ada menyimpan sebuah komputer riba curi di rumahnya. di Jalan Sri Kuantan.

Menurutnya, susulan maklumat itu, pihaknya melakukan serbuan ke atas rumah terbabit dan menahan seorang lelaki.

“Polis merampas komputer riba jenama Lenovo yang ditemui di atas meja setelah ditunjukkan suspek.

“Kita turut mendapati dua wanita warga asing berada dalam salah sebuah bilik dan kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek berumur 27 hingga 42 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dua suspek terbabit terlibat dalam beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan di sini, sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, polis juga akan melakukan siasatan kemungkinan ada individu lain terlibat dan mengesan barang kes hasil kegiatan itu yang mungkin cuba disorok atau dilupuskan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");