Jenayah

Bot nelayan hanyut lapan jam

PASIR PUTEH: Tiga nelayan tradisional mengalami detik cemas selama lapan jam apabila bot mereka hanyut selepas mengalami kerosakan dalam kejadian jam 1 petang kelmarin, kira-kira 20 batu nautika dari Pantai Sabak, Kota Bharu.

Ahmad Rizal Ahmad, 32, Ahmad Rizal bersama Mohd Akma Anuar, 40, dan Zaki Omar, 40, yang keluar untuk menangkap ikan dari Pantai Sabak jam 3 pagi kelmarin menyedari enjin bot tidak dapat dihidupkan selepas bot tersebut dihempas ombak.

Menurut Ahmad Rizal, enjin dimatikan untuk melakukan penangkapan terakhir tapi ia gagal berfungsi semula ketika mereka berhasrat untuk pulang ke pengkalan.

Katanya, mereka berusaha membaiki rantai kipas dalam enjin yang terputus akibat dihempas ombak namun gagal kerana peralatan membaiki agak terhad.

“Kami sepatutnya pulang jam 12 tengah hari tapi berdepan masalah, ketika itu saya hanya ingatkan mati dan saya tidak putus-putus berdoa agar kami semua selamat,” katanya.

Katanya, mereka bernasib baik kerana ada ikan yang baharu ditangkap untuk dimakan bagi mengalas perut kerana bekalan makanan yang dibawa kehabisan.

Kejadian itu katanya, kali kedua berlaku ke atas mereka kerana sebelum ini iaitu kira-kira tiga bulan lalu mereka pernah terkandas selama tiga hari dua malam di laut disebabkan masalah sama sebelum diselamatkan bot nelayan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan, Kepten Nurul Hizam Zakaria berkata, beliau terus mengarahkan kapal KM Amanah dan bot Penggalang 18 untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima laporan kecemasan yang dibuat oleh Hamizi Ahmad, jam 1 petang sebaik dihubungi abangnya, Ahmad Rizal.

Katanya, pada jam 4.15 petang, Pusat Operasi DM10 Kelantan menerima maklumat Mohd Akma selamat tiba di jeti Pantai Sabak dengan menumpang bot nelayan tempatan.

“Selepas tiga jam dimaklumkan koordinasi bot berkenaan oleh Mohd Akma, Ahmad Rizal dan Zaki ditemui selamat oleh KM Amanah.

“Bagaimanapun ketika ditemui kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Tok Bali, mereka berdua dalam keadaan lemah kerana keadaan laut agak bergelora,” katanya.

Nurul Hizam berkata, pihaknya meminta pertolongan bot nelayan untuk menunda bot mangsa ke pengkalan nelayan Pantai Sabak dan mereka tiba di sana jam 11 malam kelmarin.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");