Sukan Hari Ini

Chong Wei kena lebih tenang

“SAYA harap dia (Datuk Lee Chong Wei) beraksi tanpa tekanan pada Kejohanan Dunia di Jakarta nanti.”

Demikian permintaan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menjelang kejohanan tersebut yang akan bermula secara rasminya pada 10 Ogos ini.

Frost berkata, beliau amat memahami perasaan Chong Wei ketika ini yang mahu merangkul gelaran juara dunia buat kali pertama.

Namun katanya, jika Chong Wei terlalu fikirkan sangat gelaran pada Kejohanan Dunia, perkara seperti ini akan menjadi bebanan kepadanya.

“Kadang-kadang benda yang diimpikan sangat itu boleh menjejaskan fokus kita, jadi saya harap dia lebih tenang dan mengharungi setiap perlawanan dengan tenang,” katanya.

Frost menekankan bahawa ketenangan adalah kunci dalam memacu kejayaan Chong Wei nanti dan inilah peluang terbaik pemain perseorangan itu untuk dinobatkan juara dunia selepas melalui pelbagai ranjau yang ditempuhinya.

Chong Wei dijangka tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama (bertemu Kestutis Navickas dari Lithuania) dan pusingan kedua (berkemungkinan bertemu Marc Zwiebler dari Jerman), namun tahap kesukaran bakal mula dirasai di pusingan ketiga apabila dia dijangka bertemu wakil China, Wang Zhengming.

Jika mara sehingga ke suku akhir, menantinya berkemungkinan pilihan ketiga dari India, K Srikanth atau Hu Yun (Hong Kong) dan pertemuan epik sudah pasti di separuh akhir apabila dia dijangka berdepan musuh dari tradisi dari China, Lin Dan.

Menurut Frost, semua undian harus dilihat dari sudut positif dan mengenai peluang Chong Wei pula, tidak perlu ada rungutan kerana bekas pemain nombor satu dunia itu bukan diletakkan sebagai pemain pilihan untuk edisi kali ini.

“Saya rasa ini sudah cukup baik buat Chong Wei jika dilihat pada saingan awal di Kejohanan Dunia kali ini, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya percaya kemampuannya untuk menyerlah,” kata bekas pemain perseorangan Denmark itu.

Penyertaan Chong Wei kali ini membawa misi yang besar untuk badminton negara terutama selepas menjalani hukuman penggantungan lapan bulan selepas gagal ujian air kencing yang diuji bahan terlarang jenis dexamethasone pada kejohanan dunia di Copenhagen, Denmark Ogos tahun lalu.

Chong Wei yang kembali beraksi pada Mei lalu menunjukkan aksi yang konsisten memenangi dua kejohanan pada Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada sebelum tumpas kepada pemain China, Chen Long pada aksi suku akhir Terbuka Taiwan, 17 Julai lalu.

Chong Wei mampu jadi juara

Frost memberitahu peminat badminton negara agar tidak memberi tekanan kepada Chong Wei dengan membuat andaian awal sama ada pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) mampu ke saingan akhir atau tidak.

Ini kerana, saingan kali ini sedikit berbeza buat Chong Wei apabila tidak diletakkan pilihan berikutan penurunan ranking akibat digantung sejak Ogos tahun lalu sehingga April berikutan gagal ujian doping di kejohanan sama di Copenhagen tahun lalu.

Walaupun Chong Wei menduduki tempat kedua tahun lalu selepas ditumpas di tangan Chen Long dalam perlawanan akhir, pencapaian itu tarik balik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana dia didapati menggunakan bahan terlarang dexamethasone.

“Saingan masih tetap sukar tetapi saya percaya dengan (kemampuan) Chong Wei.

“Namun, dia (Chong Wei) perlu fokus satu demi satu perlawanan bakal dihadapi dan selepas ini kami akan berbincang bagaimana untuk mengharungi setiap halangan ini.

“Apa pun, saya yakin dengan adanya jurulatih seperti Hendrawan yang mampu membantu Chong Wei untuk merealisasikan misinya itu.

“Berdoalah agar apabila kejohanan di Jakarta berakhir nanti, kita akan mempunyai jaguh dunia,” tegas Frost.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");