Jenayah

Dua lelaki, wanita ditahan terbabit kes samun

LAHAD DATU: Polis menumpaskan satu kumpulan samun menggunakan senjata api selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita kira-kira empat jam selepas menyamun sebuah premis menjual pakaian di Bandar Tabanak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata suspek yang berusia antara 24 dan 30 tahun itu ditahan jam 2.30 petang dalam operasi Op Tutup di Jalan Kunak, dekat sini.

“Hasil tindakan pantas dan maklumat awam, polis dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak berjaya menahan suspek dan merampas beberapa barangan hasil samun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata, dalam insiden samun kira-kira pukul 10.45 pagi semalam, seorang pekerja premis menjual pakaian itu didatangi dua lelaki dan seorang daripada mereka telah mengacukan pistol ke arah mangsa dan bertindak mengambil beg tangan termasuk telefon bimbit milik mangsa, sebelum melarikan diri.

“Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan dan hasil tindakan pantas penyaluran maklumat tersebut, polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek itu bersama seorang wanita.

“Polis menemui semula semua barang yang disamun dan turut merampas sepucuk pistol jenis Pietro Baretta berserta satu kelopak tanpa peluru,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");