Sukan Hari Ini

Eva Carneiro ‘bomoh’ pasukan Chelsea

JIKA anda penggemar Liga Perdana Inggeris (EPL) atau peminat fanatik pasukan Chelsea, sudah semestinya anda mengenali Dr Eva Carneiro.

Eva adalah pegawai perubatan Chelsea yang bertanggungjawab memantau dan merawat pemain The Blues ketika mereka cedera semasa beraksi di padang.

Wanita berusia 42 tahun ini lahir di Gibraltar dan berketurunan Sepanyol dan Inggeris.

Beliau adalah lulusan Universiti Nottingham dan Universiti Queens Mary di London dalam bidang sains sukan dan tesisnya kini boleh didapati di kelab West Ham United.

Selepas menamatkan pengajiannya, Eva bertugas di jabatan kesihatan di PCT Islington dan merupakan salah seorang doktor di Whittington and Olympic Medical Institute sebelum diberi kepercayaan menjadi doktor bagi pasukan bola sepak wanita England.

Antara tugasnya di Olympic Medical Institute adalah membantu meningkatkan prestasi atlet bagi menghadapi temasya sukan Olimpik Beijing pada 2008.

Bergabung dengan Chelsea

Eva menyertai pasukan Chelsea pada 2009. Pada mulanya, beliau bekerja dengan pasukan simpanan The Blues sebelum dinaikkan pangkat menjadi pegawai perubatan untuk pasukan utama semasa itu di bawah kendalian Andre Villas-Boas.

Selepas Villas-Boas dipecat, Eva terus diberi kepercayaan di bawah pengurus Roberto Di Matteo, Rafael Benitez dan Jose Mourinho.

Jadi mangsa usikan nakal

Penampilannya yang anggun dan menawan sudah pasti menarik perhatian ramai.

Pada musim 2014/15, Eva dilaporkan menjadi mangsa usikan nakal dan berbaur lucah oleh penyokong lawan.

Semasa pertemuan liga menentang Arsenal, Manchester City dan Manchester United, penyokong lawan dilaporkan melaungkan slogan lucah terhadap Eva.

Bagaimanapun, gangguan seumpama itu tidak menjejaskan fokusnya semasa menjalankan tugas diluar ataupun dalam padang.

Gangguan dan usikan nakal terhadap Eva memaksa FA Inggeris menaikkan papan iklan semasa perlawanan sedang berlangsung meminta penyokong lawan menghentikan usikan mereka terhadap Eva.

Jatuh cinta dengan bola sepak

Dalam satu temubual yang disiarkan media Inggeris tidak lama dahulu, Eva mendedahkan beliau mula tertarik dan jatuh cinta dengan sukan bola sepak semasa melawat Mexico.

Malah, Eva sempat menyaksikan perlawanan bola sepak antara Mexico dan Brazil di Piala Dunia 1998 di Perancis.

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan terus menanam cita-cita untuk menjadi doktor buat pasukan bola sepak.

Berselisih faham dengan Mourinho

Eva disingkirkan daripada tugasan pada hari perlawanan selepas beliau bertelagah dengan pengurus Jose Mourinho.

Mourinho mengkritik Eva selepas beliau meluru masuk ke padang untuk merawat Eden Hazard pada masa kecederaan ketika Chelsea seri 2-2 di laman sendiri menentang Swansea City, minggu lalu.

Selain itu, Mourinho turut melabel Eva sebagai ‘tidak memahami permainan’.

Selepas menerima sokongan peminat, Eva menulis dalam laman Facebook miliknya: “Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana sokongan mereka. Sokongan anda amat dihargai.”

Akhbar Daily Telegraph dan Daily Mail menyatakan ketika Eva akan meneruskan peranannya sebagai doktor pasukan utama, beliau tidak akan menghadiri perlawanan atau sesi latihan atau memasuki hotel pasukan selepas ini.

Mourinho berasakan Eva melakukan kesilapan merawat Hazard ketika pasukannya terdesak mencari gol kemenangan menentang Swansea di Stamford Bridge.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");