SHAH ALAM – Pas akui tidak hairan dengan kemunculan teori yang mendakwa wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, ia sebagai satu lagi usaha Umno dan Najib untuk menutup isu derma RM2.6 bilion yang kecoh baru-baru ini.
“Umno dan Perdana Menteri jelas kepanasan melihat penolakan rakyat terhadap pelbagai penjelasan mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.
“Bukan sahaja rakyat tidak percaya, malah ahli Umno sendiri termasuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan penjelasan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.
“Menimbulkan watak misteri ini adalah sebahagian ciri-ciri kepakaran Umno dalam mengalihkan perhatian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.
Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim meminta agar rakyat terus waspada dengan usaha Umno tersebut.
“Rakyat diminta terus berwaspada dan dialihkan pandangan daripada masalah sebenar yang melanda negara.
“Teruskan tekanan agar kebenaran akan keluar pada akhirnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga derma RM2.6 bilion yang telah menjejaskan keyakinan dunia terhadap ekonomi dan kepimpinan negara,” katanya.
-Sinar Harian