Panasnya Hari Ini

Henti Yakinkan Rakyat RM2.6 Adalah Derma- Tun M

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi saranan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan penyokongnya menghentikan usaha untuk cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa RM2.6 bilion Ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu adalah derma.

Menerusi catatan di blog milik beliau semalam, beliau menegaskan bahawa tiada siapa percaya atau boleh percaya bahawa wang sejumlah besar itu boleh diderma oleh sesiapa kepada Perdana Menteri atau kepada sesiapa sahaja atas apa jua sebab.

Tambahnya lagi penjelasan bahawa derma itu telah diberi kerana pendirian Malaysia terhadap Islamic State (IS) adalah tidak munasabah kerana Islamic State mulai menunjukkan jenama keganasan mereka itu hanya pada tahun 2014 manakala wang itu masuk pada tahun 2013 atau sebelum.

“Mengatakan bahawa ia adalah kerana sikap kesederhanaan Malaysia dalam Islam adalah juga tidak masuk akal kerana Malaysia tidak pernah berpendirian melampau dalam amalan Islam.

“Mengapa 700 juta dolar? Sesungguhnya ini adalah terlalu besar untuk keperluan pilihan raya di Malaysia, kecuali ia adalah untuk merasuah pengundi Malaysia.

“Mengapa ada orang yang mahu merasuahkan pengundi Malaysia supaya Najib boleh menang. Rakyat Malaysia telah menyokong BN tanpa perlu dibayar rasuah besar oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi oleh orang-orang asing,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Zahid Hamidi menerangkan bahawa telah berjumpa Arab yang memberikan wang itu yang dikatakan masih belum jelas menerangkan sumber dana tersebut.

Mahathir turut mempertikaikan sumber wang berkenaan, jenis perniagaan yang dilakukan malah nama bank yang digunakan bagi transaksi wang derma berkenaan.

“Tunjukkan akaunnya di bank, cek-cek yang beliau keluarkan, terutamanya USD700 juta itu. Bank penerima mesti masih memegang cek-cek itu.

“Semua maklumat ini mungkin telah pun disahkan oleh pasukan petugas yang empat itu. Tetapi Najib telah membongkarkan pasukan petugas dengan memecat Peguam Negara, menghantar ketua SPRM bercuti, dan menuduh Bank Negara membocorkan rahsia Kerajaan,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan masih menyiasat RM2.6 bilion itu namun ianya dilihat seolah-olah telah dilumpuhkan.

“Jika Najib serius untuk menyiasat RM2.6 bilion kepunyaannya dalam Ambank, beliau perlu melantik semula pasukan tugas yang asal. Satu pasukan petugas baru yang penuh dengan orang-orangnya tidak mempunyai kredibiliti.

“Bank perlu mengekalkan kerahsiaan perbankan. Tetapi bank-bank juga dikehendaki melaporkan pengubahan wang haram yang disyaki. Bank-bank Malaysia, bank-bank Singapura, bank-bank Switzerland dan bank-bank Amerika tidak patut merahsiakan perniagaan mereka yang melibatkan wang yang disyaki dicuri. Apa yang telah dilakukan mereka?,” katanya lagi.

Ujar Mahathir lagi, orang ramai mempunyai hak untuk mengetahuinya kerana orang ramai tidak mempercayai bahawa RM2.6 bilion adalah hadiah peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk beliau memenangi pilihan raya.

Rakyat Malaysia juga katanya tidak mahu mempercayai bahawa calon mereka untuk pejabat tertinggi di negara ini merupakan penama seseorang dari negara lain.

“Apakah yang akan menjadi kewajipan beliau kepada penyokong-penyokong? Adakah beliau akan berkhidmat untuk rakyat Malaysia atau untuk negara asing?

“Berhentilah berfikir bahawa rakyat Malaysia bodoh,” catatanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");