Sukan Hari Ini

Jangan cetus provokasi

Petaling Jaya: “Saya bukan fikir pasal aksi dalam padang tapi saya terus terfikir mengenai apa yang berlaku di luar padang. Saya harap penyokong kedua-dua pasukan akan cuba bertenang,” kata kapten Perak Mohamad Nasir Basharudin ketika mengulas pasukannya diundi bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bagi saingan Kumpulan B Piala Malaysia.

Kebimbangan pemain kebangsaan itu ada benarnya selepas insiden kekecohan penyokong Johor DT di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada aksi Liga Super minggu lalu selepas perlawanan dengan Perak.

Pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan namun seorang penyokong Perak didakwa cedera di kepala selepas bas yang dinaiki dibaling dengan besi oleh penyokong Johor DT dalam perjalanan pulang.

Ini bukan sekali insiden sebegini berlaku antara kedua-dua penyokong pasukan itu kerana pernah ‘bertempur’ di Larkin Januari lalu dan Ipoh pada April.

“Salah satu pihak kena beralah, mungkin susah tapi itu yang kita kena buat, kalau tidak sampai bila tak akan habis,” kata Nasir.

Selain Perak dan naib juara tahun lalu Johor DT, saingan Kumpulan B turut membabitkan dua lagi pasukan Liga Super Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia.

Nasir berkata, saingan kumpulan itu tampak terbuka dan berharap dia dapat membantu skuad Bos Gaurus melepasi halangan peringkat kumpulan.

“Secara peribadi saya ingin membantu Perak melepasi halangan peringkat kumpulan sebab sudah dua, tiga tahun kami terkandas di peringkat kumpulan,” katanya.

Sementara itu bagi kapten Johor DT Safiq Rahim, dia berharap semua penyokong dapat menunjukkan semangat kesukanan tinggi sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

“Harap kedua-dua belah pihak dapat beri semangat kesukanan tidak kira penyokong dan pemain antara Johor DT dan Perak. Saya harap kita dapat berikan aksi terbaik di dalam dan luar padang.

“Tahun lalu kami kecewa di final, jadi kali ini kami mahu keputusan lebih baik. Saya tidak pernah menang Piala Malaysia jadi saya harap kali ini ada rezeki saya bersama Johor DT,” kata pemain tengah itu.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");