Perak Hari Ini

Jangan Jadi Jaguh – DS Tajuddin

PASIR SALAK: Barisan kepimpinan muda sama ada yang baru mahupun yang sudah lama dilantik diingatkan supaya tidak mengeluarkan pandangan dan kenyataan tentang sesuatu perkara secara melulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mereka tidak seharusnya begitu angkuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dilihat mampu menggugat parti UMNO.

“Sebagai ahli tertinggi UMNO, saya ingin mengingatkan terutama kepada pemimpin-pemimpin muda supaya jangan begitu menjadi jaguh sangat sehinggakan lupa kepada adab, sopan dan tatasusila sebagai ahli parti.

“Terutama sekali sebagai pemimpin muda yang sedang meningkat naik,” tegas beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di sini, pagi tadi.

1

Turut hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tajuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dengan beberapa barisan kepimpinan muda yang dilihat semakin lantang mengeluarkan sesuatu kenyataan yang tidak sepatutnya.

Ujarnya, beliau merasakan bahawa pihak berkenaan bertindak bodoh dengan mengeluarkan sesuatu kenyataan yang mampu mengganggu gugat dalaman parti UMNO itu sendiri.

“Itu bodoh punya cara… Saya hendak cakap bahawa orang macam ini beringat sikit, jangan mereka pula dituduh sebagai pengkhianat kerana menuduh memecah belahkan parti,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, beliau turut mengulas dakwaan berhubung isu terdapat beberapa pihak yang mahu jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO turut digugurkan.

“Kita dengar ada ura-ura daripada dua tiga orang tokoh muda yang duduk sebagai ahli Majlis Tertinggi dan juga sebagai ahli kabinet yang membawa syor belum lagi cadangan, bunyi-bunyi sahaja meminta supaya tindakan disiplin kepada Tan Sri Muhyiddin.

“Mungkin agaknya hendak memecat beliau daripada parti UMNO,” kata beliau lagi.

Tegasnya, tindakan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana pengguguran Muhyiddin daripada kabinet adalah berbeza dengan persada politik.

“Jangan… apa salah dia (Muhyiddin), dia gugur daripada kabinet itu lain, jawatan sebagai Timbalan Presiden itu lain.

“Dalam kabinet itu hak Perdana Menteri kalau dia merasakan bahawa Tan Sri Muhyiddin sudah tidak lagi memberikan kerjasama atau semangat sepasukan,” jelasnya.

Dalam kepimpinan UMNO pula, beliau berkata lagi, Muhyiddin tidak melanggar apa-apa peraturan dalam parti itu apatah lagi menimbulkan sesuatu perkara yang boleh menghancurkan parti.

“Apabila tiba soal parti, apa yang Tan Sri Muhyiddin telah buat yang menggugat dan melanggar disiplin parti?.

“Setakat ini kita dengar dia tidak akan membuat sesuatu yang akan memecah belahkan parti dan dia tidak akan terlibat dengan mana-mana pihak yang akan mengganggu gugat parti apatah lagi untuk pergi ke parti pembangkang.

“Ada pujukan-pujukan, tawaran-tawaran daripada pihak pembangkang, beliau telah menolak dengan jelas dan nyatanya.

“Jadi apakah kesalahan yang dilakukan, kalau ada kesalahan barulah pihak Jawatankuasa dan Lembaga disiplin bertindak,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");