Sukan Hari Ini

KLHC mudah benam THT

KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempamerkan aksi kelas tersendiri apabila membelasah juara berganda musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk memenangi Perisai Komuniti 2015, kelmarin.

Dalam aksi di Stadium Hoki Nasional itu, pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah membenam pasukan dikatakan jelmaan pasukan kebangsaan itu 6-2.

Kemenangan itu juga sekali gus melayakkan KLHC merangkul tiga mata pertama saingan Liga Hoki Malaysia TNB (TNB-MHL).

Dalam perlawanan itu, THT bermula lebih baik berbanding KLHC apabila menjaringkan gol seawal minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti pemain import, Jose Leandro Tolini sebelum Ali Shan menyamakan kedudukan untuk KLHC pada minit ke-19 juga menerusi pukulan sudut penalti.

Perlawanan suku kedua menyaksikan saingan lebih menarik apabila KLHC bermain lebih garang menambah empat lagi gol menerusi Nabil Fiqri Mohd. Noor minit ke-20, Muhammad Razie (minit 21) dan dua jaringan Muhammad Rashid Baharom (minit 33 dan 49).

Ketinggalan 1-5 menyebabkan THT tertekan sehinggakan permainan mereka menjadi tidak teratur hanya mampu menambah satu jaringan menerusi Ismail Abu minit ke-52.

Namun Harvinder Singh terus memusnahkan sisa-sisa perjuangan THT dengan gol keenam dua minit sebelum tamat perlawanan untuk langkah kanan aksi pertama liga.

Perjalanan liga masih jauh

Mengulas mengenai aksi ‘pesta gol’ itu, ketua jurulatih KLHC, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan, tuah adalah kunci utama anak buahnya berupaya meraih enam gol ke atas lawan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan.

Katanya, beliau sama sekali tidak menjangka akan meraih kemenangan besar dalam perlawanan tersebut kerana THT dilihat memiliki kelebihan berbanding mereka.

“Tiada siapa menjangka kami akan meraih enam gol kerana pada awal permainan, kami ketinggalan terlebih dahulu. Selepas itu, kami bangkit dan cuba untuk memenangi perlawanan ini.

“Kami bernasib baik kerana tiga pukulan sudut penalti diraih kesemuanya menghasilkan gol.

“Tapi, saya tak setuju mengatakan kami menang mudah dengan THT yang antara pasukan hebat dalam liga. Berdasarkan perlawanan ini, mereka mendapat banyak pukulan sudut penalti dan peluang untuk menjaringkan gol sehinggakan penjaga gol kami, Roslan Jamaluddin adalah individu paling sibuk untuk menyelamatkan keadaan,” katanya.

Dhaarma juga mengakui kemenangan ini satu permulaan yang baik untuk pasukannya, namun pada masa tetap menganggap perjalanan masih jauh untuk skuad bimbingannya.

“Ia bukan satu kemenangan mudah sebenarnya. Perjalanan liga masih panjang dan kami tidak boleh terlalu selesa kerana jika begitu, kami akan dihukum kelak,” katanya.

Perjuangan belum berakhir

Sementara itu, jurulatih THT, Sarjit Singh mengakui perubahan taktikal pada saat akhir kerana mahu mengekang asakan pasukan lawan menyebabkan corak permainan pasukannya menjadi tidak begitu baik.

Bagaimanapun katanya, THT akan bangkit dan menyerlah dalam saingan TNB-MHL nanti.

“Ini hanya baharu satu perlawanan dan saya tidak fikir kekalahan ini akan melemahkan semangat kami untuk meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan musim ini.

“Saya juga percaya beberapa kelemahan akan dapat diatasi sebelum kami menghadapi saingan liga selepas ini,” kata Sarjit.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");