Sukan Hari Ini

Mampukah pengganti Chong Wei dicari?

NAMA Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Soon Huat pernah dicanang akan menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei andai bekas pemain nombor satu dunia itu akan bersara kelak.

Namun harapan itu sepi tanpa berita apabila sehingga kini prestasi pemain berkenaan dilihat belum mampu untuk menggalas tanggungjawab itu.

Bukan mahu memandang rendah tetapi itulah hakikat yang dihadapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas itu, Zulfadli Zulkiffli pula dilihat sebagai pemain terbaik untuk menjadi pengganti berdasarkan kejayaan mengejutkan pilihan keenam dari Taiwan, Chou Tien Chen pada Kejohanan Dunia, sebelum tersingkir di pusingan ketiga, baru-baru ini.

Namun persoalannya, adakah beliau mampu atau sandaran itu juga hanya omong-omong kosong yang sekadar untuk menyenangkan hati semua pihak tatkala ketika ini gelisah memikirkan pengganti Chong Wei.

Jika dilihat dari segi usia, pemain berusia 33 tahun itu mungkin akan beraksi buat kali terakhir pada Sukan Olimpik 2016 sebelum meninggalkan badminton.

Hakikatnya, Chong Wei tidak boleh lagi dikerah sepanjang tahun, beliau perlukan rehat dan kalau boleh, beri kelonggaran kepadanya untuk hanya beraksi pada kejohanan tertentu sahaja.

Bila sudah terlalu kerap beraksi, maka gaya permainannya mudah dibaca pemain lawan, khususnya musuh utama, China.

Mungkin atas alasan itu, Chong Wei masih gagal untuk mendakap kejuaraan dunia walaupun telah sembilan kali mencuba.

Sudah tiba masanya bagi BAM untuk lebih berani memberi kepercayaan kepada barisan pemain muda negara beraksi di pentas antarabangsa.

Jika tidak, kumpulan pelapis ini tidak akan mencapai tahap permainan matang sehingga mereka bersara.

Belum ada pengganti

Bekas jurulatih Chong Wei, Rashid Sidek sendiri tidak mampu untuk memberikan jawapannya.

Rashid berkata, masih belum ada bayangan yang jelas terhadap pengganti yang boleh mengambil alih tempat Chong Wei.

Biarpun ada beberapa nama dianggap berpotensi, tetapi keupayaan mereka masih jauh di belakang Chong Wei.

“Tidak ada. Sebab itu, susah untuk kita bercakap mengenai perkara ini.

“Buat masa ini memang belum nampak lagi mana-mana pemain yang benar-benar boleh menggantikan tempat Chong Wei,” kata Rashid.

Berdasarkan kenyataan Rashid itu, sedikit sebanyak pasti memberikan jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh peminat badminton negara.

Mahu ataupun tidak, peminat sukan badminton tempatan perlu berpijak di bumi yang nyata.

Harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa selain Chong Wei, tidak ada mana-mana pemain perseorangan yang mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");