Sukan Hari Ini

McIlroy ‘kembali’ ke lapangan

Wisconsin, AS: Pemain golf nombor satu dunia, Rory McIlroy dijadualkan berlatih sepusingan Sabtu ini di Whistling Straits, gelanggang Kejohanan PGA AS minggu depan, menurut sumber semalam.

Bintang Ireland Utara itu tidak bermain sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri bulan lalu, kecederaan yang menghalangnya daripada mempertahankan kejuaraan Terbuka British di St Andrews.

Pengurus McIlroy, Sean O’Flaherty, bagaimanapun tidak membalas emel yang dihantar kepadanya.

Berita mengenai rancangan pemenang empat kejuaraan utama itu berlatih di lapangan Wisconsin hujung minggu ini menjadi petanda pertama dia mungkin mempertahankan kejuaraan Kejohanan PGA, yang bermula pada 13 Ogos.

McIlroy memenangi kejuaraan tahun lalu dengan satu pukulan di Valhalla di Kentucky, kejuaraan PGA keduanya dalam tempoh tiga tahun dan dia hampir beraksi pada playoff dengan satu pukulan ketika Kejohanan PGA kali terakhir diadakan di Whistling Straits pada 2010.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak menyertai Kejohanan Golf Dunia di Akron, Ohio, minggu ini.

Sebelum ini, dia berkata, sekalipun proses pemulihannya berjalan lancar, dia tidak mahu terburu-buru kembali bermain sebelum bersedia sepenuhnya.

“Saya mengambil kira kecederaan ini dalam tempoh panjang, sekalipun pemulihan berjalan lancar, saya hanya akan kembali beraksi pada kejohanan apabila berasa 100 peratus sihat dan 100 peratus kompetitif,” katanya ketika mengumumkan menarik diri daripada Terbuka British.

Latihan sepusingan di lapangan Whistling Straits yang beralun akan memberi McIlroy peluang bermain di lapangan beralun serta menguji keadaan buku lalinya.

Sesetengah pakar perubahan menyatakan kecederaan dialami McIlroy biasanya akan mengambil masa 12 minggu sebelum pulih sepenuhnya.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");