Sukan Hari Ini

Mourinho ‘jentik’ Wenger lag

LONDON – Jose Mourinho telah menguji lagi kesabaran Arsene Wenger menjelang perlawanan Perisai Komuniti hari ini apabila menyindir musuh tradisinya itu dengan berkata pengurus Arsenal itu perlu me­nyalahkan diri sendiri kerana masih gagal menamatkan rekod buruk terhadap bos Chelsea itu.

Wenger tidak pernah menang sekali pun ke atas Mou­rinho sepanjang 13 pertemuan dan menjelang pertarungan terbaharu mereka di Wembley malam ini, bos Chelsea itu menggesa pengurus kelahiran Perancis itu bekerja keras untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapinya.

Ditanya apa yang difikirkannya jika situasi berlaku sebaliknya dan dia gagal menewaskan Wenger selama itu, Mourinho menjawab: “Saya rasa, saya akan bertanya kepada diri sendiri mengapa. Saya akan cuba untuk menghasilkan jawapan dan bukan mengehadkan pemikiran saya.

“Saya akan mencari jalan penyelesaian untuk membantu pa­sukan saya melakukannya.

“Saya akan cuba cari jalan lain dan cuba mencari sebab-sebab mengapa boleh kalah setiap kali mereka berhadapan dengan pasukan saya. Itu sahaja.”

Bekas pengendali Inter Milan, Real Madrid dan Porto itu berkata, dia tidak pernah mempunyai rekod buruk dengan pengurus lain, sekadar kalah berturut-turut terhadap bos yang sama tetapi berbeza pasukan pada musim yang berbeza.

“Saya kalah dua kali menentang Tony Pulis. Saya kalah kepada Crystal Palace (Mac 2014) dan West Bromwich (Mei 2015). Masing-masing dalam satu perlawanan,” katanya.

Bos Arsenal dan bos Chelsea itu menjadi tumpuan media selama bertahun-tahun dan hubungan antagonis mereka bertukar kepada fizikal pada tahun lepas apabila Wenger menolak Mourinho di tepi padang.

“Saya tak fikir tentang apa yang sudah berlaku, saya hanya fikir tentang perlawanan.

“Bagi saya, enam, tujuh, lapan atau sembilan perlawanan tanpa kalah tetap tiada perubahan dan saya tak rasa ia memberi kesan kepada aksi ini (Perisai Komuniti).

“Bagi saya, tiada kaitan antara satu perlawanan dengan apa yang berlaku sebelumnya,” kata Mourinho.

Sungguh pun akhir-akhir ini kerap mengejek Arsenal, Mou­rinho menganggap persaingan di antara kedua-dua pasukan itu adalah tulen.

Menyentuh mengenai ketibaan Mesut Ozil dan Alexis Sanchez, Mourinho mendakwa sesiapa yang dibawa masuk dengan nilai per­belanjaan tinggi beberapa tahun kebelakangan ini akan menerima ‘kejutan’ selain berkata bahawa Chelsea jauh lebih bersedia untuk mempertahankan kejuaraan.

Wenger yang tersinggung de­ngan komen Mourinho sebelum ini bertindak balas dengan tenang.

“Saya fikir, apa yang anda perlu lakukan ialah tidak mendengar terlalu banyak apa yang orang kata. Kerana kadang kala saya menerima dua desakan berbeza: pertama, saya tidak banyak berbelanja (membeli pemain), dan satu lagi terlalu banyak (berbelanja),” katanya.

Pasukan Wenger menamatkan musim lepas di anak tangga ketiga liga selain memenangi 20 daripada 26 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan serta mengekalkan Piala FA selepas menewaskan Aston Villa 4-0 dalam perlawanan akhir.

Mereka membawa momentum tersebut ke pramusim dengan memenangi semua empat perlawanan selain menyelesaikan masalah penjaga golnya dengan menandatangani Petr Cech dari Chelsea, sekali gus menambah keyakinan skuad The Gunners,

“Kami mahu memenangi liga, sudah tentu kami akan melakukannya. Kami rasa kami sudah serasi bersama sejak beberapa tahun sebelum ini.

“Kami telah membawa masuk pemain bertaraf dunia yang mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri. Kami juga te­lah mendapat penjaga gol bertaraf du­nia. Dia pernah berada di sana (Chelsea) dan berjaya melakukannya, dia telah memenangi segala-galanya.

“Kami percaya kami benar-benar berada dalam kedudukan yang kuat,” kata pemain tengah Jack Wilshere kepada laman web Arsenal mengenai perlawanan pembukaan tradisi bola sepak Inggeris musim ini. – AGENSI

– http://www.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");