Panasnya Hari Ini

Najib Umum Penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini telah mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) untuk menangani dan mengurangkan sebarang impak global terhadap ekonomi sebenar negara.

Menerusi blog beliau, najibrazak.com, Najib berkata, JKE tersebut akan memberi laporan secara terus kepada beliau.

“JKE akan mempertimbangkan perancangan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi Malaysia.

“Ini termasuk isu-isu semasa seperti nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal,” katanya.

Jelas beliau lagi, penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah satu keperluan untuk kerajaan bagi membangunkan dan melaksanakan strategi dan pelan tindakan untuk memastikan pertumbuhan Malaysia.

“JKE akan terdiri daripada ahli ekonomi dan tokoh korporat untuk melengkapkan lagi kapasiti dan keupayaan yang sedia ada.

“Ia akan bermesyuarat pada setiap minggu, atau lebih kerap jika perlu, untuk menimbang dan mencadangkan langkah-langkah segera,” tegasnya lagi.

Tambah beliau lagi, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancangan Ekonomi dan turut dianggotai oleh sembilan pakar ekonomi dan individu korporat yang lain.

“Antaranya ialah Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, Ketua Penasihat Kepada Suruhanjaya Peraturan Perbankan China, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Pengerusi Eksekutif Symphony Life Berhad, Tan Sri Mohamed Azman Yahya.

“Selain itu, ianya turut dianggotai oleh Pengerusi Kumpulan CIMB, Dato Sri Nazir Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAM Holdings Berhad, Datuk Seri Dr K Govindan, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias dan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Datuk Seri Saw Choo Boon,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, jawatankuasa tersebut turut disertai oleh beberapa ahli ex-officio yang terdiri daripada pegawai tertinggi Kementerian Kewangan , Bank Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan industri, Suruhanjaya Sekuriti, Pejabat Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri.

Ujarnya lagi, Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh beliau akan tetap terus berfungsi.

Katanya, Majlis Ekonomi akan merumuskan strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik, mengenalpasti cara mengawal inflasi dan merangka jaringan keselamatan sosial yang komprehensif untuk melindungi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");