Isu Panas

Pas kepada TPM, ini bukan kudeta atau penggulingan

SHAH ALAM – Pas menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dakwaan wujud usaha mengguling kerajaan melalui akuan bersumpah di Parlimen sebagai satu propaganda murahan dan melucukan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya perdana menteri hilang majoriti, maka pemimpin itu perlu ditukar dan ia pernah berlaku di negara-negara luar termasuk United Kingdom.

“Lebih melucukan apabila rancangan untuk suatu pilihan raya umum lebih awal turut disifatkan beliau sebagai sebahagian usaha untuk menggulingkan kerajaan. Keabsahan pemerintah dan perdana menteri adalah di atas sokongan majoriti ahli-ahli parlimen.

“Sekiranya hilang majoriti, maka perdana menteri perlu ditukar dan sebaiknya pilihan raya umum diadakan bagi mendapat mandat baru rakyat. Ini bukan kudeta. Ini bukan suatu penggulingan. Ini adalah proses demokrasi matang.

“Ianya pernah berlaku di United Kingdom, India dan berulang kali berlaku di Jepun dan ianya boleh sahaja berlaku di Malaysia apabila pemerintah telah gagal dalam amanah dan tanggungjawabnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat Ahmad Zahid kedengaran pelik seolah-olah tidak mempunyai kefahaman mengenai proses demokrasi dan udang-undang.

“Malah jika disorot komentar seorang pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, proses di Parlimen yang sedemikian rupa lebih merupakan satu pemindahan kuasa yang biasa berlaku di dalam amalan demokrasi. Ianya bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang di mana kerajaan dijatuhkan melalui kekerasan atau protes jalanan.

“Maka cukup pelik mendengar dakwaan yang sebegitu dangkal dari seorang timbalan perdana menteri yang bercakap seolah-olah tidak mempunyai kefahaman mengenai proses demokrasi dan undang-undang sedangkan beliau sentiasa gah menunjukkan pada dunia akan ijazah kedoktoran beliau,” katanya.

Malah menurut Nasruddin, selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penukaran Peguam Negara, siasatan terhadap skandal 1MDB terjejas susulan rombakan Kabinet serta provokasi terhadap Bank Negara, kenyataan Ahmad Zahid itu jelas menunjukkan kerajaan kini sedia untuk menyasar institusi Parlimen bagi menyekat ruang rakyat untuk bersuara dan melakukan perubahan.

“Maka apa pula selepas ini? Ahli-ahli parlimen bakal dijel dan didakwa dengan siasatan luar akal? Pagar dan pintu-pintu parlimen pula dikunci? Ia tidak menghairankan kerana Umno-BN pernah melakukannya di Perak dan Kelantan dahulu.

“Sesungguhnya Umno-BN memang sanggup memperjudikan keamanan dan kesentosaan negara untuk kekal berkuasa maka rakyat perlu bijak untuk tidak terperangkap di dalam permainan licik sebegini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");