Panasnya Hari Ini

Pentadbiran Najib Lebih Pentingkan Politik Berbanding Negara – Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kabinet kini hanya lebih mementingkan masa depan politik masing-masing berbanding masa depan Negara.

Melalui kenyataan yang disampaikan menerusi peguamnya, Anwar turut mendakwa bahawa Najib tidak menghargai pengorbanan pejuang terdahulu.

“Sejak merdeka malah sebelumnya lagi, begitu ramai rakyat patriot yang berkorban demi membina, mempertahan dan memakmurkan Negara ini, termasuk angkatan tentera dan pasukan polis.

“Adakah begini caranya Najib dan konco-konconya membayar balik hutang budi itu? Dengan memacu Negara menuju tebing kehancuran,”katanya, memetik laporan The Malaysian Insider.

Terdahulu, Anwar dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Tegas Anwar lagi, seluruh Kabinet dan Barisan Nasional (BN) mesti bertanggungjawab ke atas segala krisis yang berlaku berikutan masih tidak memberi penjelasan dan tidak mengambil tindakan untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berkata, kerajaan BN masih enggan mengambil tindakan tegas dan pantas untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan politik yang berlaku di Negara ini.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri juga turut berdepan dengan tuduhan mengenai skandal kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ditambah dengan kejadian terkini, termasuk pemecatan peguam Negara dan gangguan yang jelas terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akibatnya, nilai mata wang ringgit merudum ke tahap yang amat rendah dan keyakinan pelabur terus hilang…ini akan mendatangkan kesan amat buruk terhadap kehidupan rakyat,”ujarnya.

Dalam perutusan yang sama, Anwar turut menyeru semua pemimpin dan wakil rakyat supaya mengenepikan perbezaan politik dan dapat berganding bahu bagi menyelamatkan Negara daripada krisis ekonomi dan Negara.

“Dengan keberanian dan ketegasan, kita masih mampu mengatasi krisis ini, dan memulakan proses reformasi, mengembalikan demokrasi dan menyelamatkan Malaysia.

“Tapi kita tak punya banyak masa, kita mesti bertindak segera,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");