Lapan negeri dijelajahi dan 10 pendakwah muda dikenal pasti untuk bersaing dalam program Da‘i Pendakwah Milenia musim ketiga yang kini membuka pentas setiap Ahad jam 9 malam bermula 16 Ogos.
Sepuluh peserta ini bertuah kerana terpilih daripada lebih 600 penyertaan yang diterima bagi bersaing untuk merebut gelaran juara serta meraih hadiah utama berupa wang tunai RM50,000, pakej umrah, trofi dan saham PNB bernilai RM5,000 serta pengalaman bekerjasama dengan Media Prima Berhad.
Program tahun ini tampil dengan kelainan apabila peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu lima lelaki dan lima perempuan yang dibimbing seorang mentor iaitu Ustaz Elyas Ismail (untuk lelaki) dan Dr Rubiah K Hamzah (peserta perempuan).
Peserta lelaki ialah Muhamad Ariffin Nordin, 21 (Kelantan), Muhammad ’Asri Hijrah Damni, 25 (Sarawak), Luqmanul Hakim Joohari, 26 (Pulau Pinang), Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar, 20 (Selangor) dan Muhammad Hilman Fabli, 23 (Melaka) yang berada di bawah kumpulan Al-Rijaal.
Peserta perempuan pula ialah Hamidah Ab Razak, 23 (Kedah), Nor Adzlyn Sadiri, 22 (Sabah), Nursyuhada Zulkifli, 20 (Kelantan), Nur Ainun Syailah Kamaruzaman, 19 (Kuala Lumpur) serta Nur Hidayu Mohd Kamil, 23 (Selangor) yang berada di bawah kumpulan An-Nisaa’.
Mereka seterusnya akan dinilai Datuk Ustaz Kazim Elias yang bertindak sebagai ketua mentor yang akan memantau secara keseluruhan prestasi peserta.
Manakala, penilaian secara individu akan dibuat dua juri tetap profesional iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Syarhan Safie bersama seorang juri jemputan yang berkonsepkan 60 peratus markah, 10 juri awam setiap minggu sebanyak 30 peratus dan 10 peratus lagi ditentukan juri sosial media.
Rosyam kekal mengacara
Sambutan baik penonton pada musim lalu mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, namun dia akan digandingkan dengan Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama.
Rosyam yang ditemui berbesar hati kerana masih mendapat kepercayaan bagi mengendalikan program yang semakin mendapat tempat di hati penonton ini.
“Terima kasih kepada TV3 kerana bagi peluang sekali lagi buat saya. Tak sangka apabila saya ambil alih tugas mengacara pada musim lalu, rating program ini semakin meningkat.
“Saya berpeluang ikut beberapa sesi uji bakat kali ini. Kalau dulu, kami kena pujuk orang untuk masuk program ini, tapi kali ini berbeza sekali kerana mereka yang berminat nak menyertainya. Saya juga lihat peserta yang bertanding hebat-hebat belaka dan berharap Da’i musim ini akan memberi lebih impak kepada masyarakat,“ katanya.
Sebelum ini, kata Rosyam, dia terpaksa berinteraksi untuk menenangkan peserta supaya tidak gemuruh apabila berada di pentas, namun kali ini kebanyakan mereka sudah bersedia.
“Saya banyak bagi motivasi di belakang pentas kepada peserta musim lalu. Tak dinafikan saya sendiri pun masih gementar apabila berada di pentas dan jadi tumpuan ramai. Secara jujurnya, penerbit bagi kebebasan untuk saya hasilkan skrip secara spontan. Saya hanya mengulas persembahan peserta daripada sudut yang saya tahu saja.
“Untuk jadi pengacara yang baik, saya pun kena banyak membaca buku agama, hadis dan sejarah Islam. Apabila peserta keluarkan hujah atau hadis, ia mungkin berkaitan dengan apa yang saya baca,” katanya.
Mengulas mengenai cara penyampaiannya yang diselang-selikan unsur jenaka, Rosyam mengakui, ia perlu dilakukan untuk membantu peserta.
“Jenaka itu bukan terlalu mendalam sangat. Saya tengok pada peserta kerana kalau mereka gementar, ia perlu diredakan. Saya lebih suka buat unsur dramatik.
“Apapun saya harap kali ini penonton lebih menumpukan perhatian pada 10 peserta berbanding saya,” katanya yang pernah dikritik kerana dianggap tidak sesuai mengacarakan program ini ketika awal dulu. Da’i musim ketiga ditaja D‘herbs Holdings Sdn. Bhd selaku penaja utama.
Penonton boleh menyaksikan siaran ulangan program ini pada setiap Jumaat jam 10 pagi. Mereka juga boleh menonton secara eksklusif persembahan setiap peserta, paparan istimewa menerusi www.tv3.com.my/da’i.
-Metro