Berita Hari Ini

Pergerakan luar biasa manusia jadi tumpuan

KUALA LUMPUR – Pergerakan luar biasa manusia di Asia Tenggara akan menjadi satu daripada isu utama dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) Ke-48 bermula Isnin, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, mengambil perhatian ia berkait rapat dengan isu Rohingya.

Beliau berkata selaku pengerusi Asean, Malaysia telah berperanan sebagai peneraju untuk membincangkan isu itu apabila ia memanggil Mesyuarat Peringkat Menteri tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Putrajaya pada 20 Mei.

Anifah berkata demikian kepada Bernama dalam temuramah bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean Ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Asean dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, yang dianjurkan Malaysia selaku tuan rumah dari 1 hingga 6 Ogos.

Malaysia memulakan inisiatif tersebut apabila ia memanggil bagi mesyuarat itu susulan laporan bahawa bot membawa 1,158 warga Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat secara haram di Langkawi, Kedah pada 10 Mei, dan angka itu dilaporkan yang tertinggi setakat ini.

Mesyuarat tiga pihak itu dimuktamadkan dengan Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk memberikan bantuan kemanusiaan, dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 migran yang masih berada di laut pada ketika itu.

Anifah membacakan kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragor dari Thailand di Putrajaya untuk menangani masalah kebanjiran migran berkenaan.

Sementara itu pada 25 Mei, polis Malaysia mengumumkan penemuan 139 buah kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sempadan Thailand-Malaysia.

Anifah menegaskan Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara terjejas dan anggota masyarakat antarabangsa dalam usaha untuk menangani isu migran tanpa izin, termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan manusia di rantau ini.

“Malaysia turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Myanmar berhubung isu ini,” jelasnya.

Anifah menegaskan Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam Mesyuarat Khas mengenai Migrasi Luar Biasa di Lautan Hindi di Bangkok pada 29 Mei serta dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) dan Forum Rantau Asean SOM yang diadakan di Kuching pada Jun dengan isu itu dibincangkan secara mendalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan mesyuarat AMM ke-48 pada Selasa ini.

Di bawah kepengerusiannya tahun ini, Malaysia memilih tema ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’. Komuniti Asean turut disasarkan diwujudkan akhir ini semasa Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan serantau itu.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");