Panasnya Hari Ini

Perlu 25 Ahli Parlimen BN Untuk Singkirkan Najib

KUALA LUMPUR: Hanya seramai 25 orang Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) sahaja diperlukan untuk menyingkirkan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, pakatan pembangkang hanya memerlukan ‘bantuan’ daripada Ahli Parlimen BN untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyingkirkannya daripada memegang jawatan Perdana Menteri.

Rafizi berkata, beliau yakin bahawa jumlah tersebut dapat dicapai memandangkan terdapat segelintir Ahli Parlimen BN bersama-sama rakyat yang turut bosan dengan politik dan ekonomi di negara ini.

“Saya yakin ahli Parlimen daripada parti pembangkang atau BN faham sentimen ini.

“Sebab itu saya masih menaruh harapan akan ada 25 ahli Parlimen BN yang masih mempunyai kesedaran dan kecintaan kepada rakyat untuk berani tampil menyokong satu undi tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri,” katanya, memetik laporan Malaysian Insider.

Beliau turut yakin dan percaya bahawa ahli Parlimen BN akan berhadapan dengan pelbagai cubaan sekiranya mereka bersetuju untuk menyingkirkan Najib.

“Namun, saya juga percaya mereka gelisah dengan perkembangan yang berlaku dan mereka masih ada kesedaran untuk membezakan yang benar berbanding tidak benar,” ujarnya.

Sementara itu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR telah menetapkan tiga syarat sekiranya ada 25 ahli Parlimen BN bersetuju untuk menyokong usul undi tidak percaya tersebut.

“Pertama, kerajaan peralihan ditubuhkan dengan mandat selama dua hingga tiga tahun bagi memulihkan demokrasi dan institusi utama negara.

“Kedua, reformasi terhadap sistem dan amalan pilihanraya agar Pilihan Raya Umum ke-14 dapat diadakan secara bebas, adil dan telus.

“Ketiga, satu agenda reformasi yang jelas mengenai ekonomi rakyat, termasuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan, keluhuran undang-undang, kebebasan media dan perkara lain dipersetujui secara bersama,”katanya.

Rafizi berkata demikian ketika mengulas cadangan yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya pembangkang menyingkirkan Najib selaku Perdana Menteri, tetapi masih mengekalkan BN sebagai kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");