Berita Hari Ini

Peserta di KL, Sabah, Sarawak terus berhimpun

KUALA LUMPUR – Bilangan peserta Perhimpunan Bersih 4 semakin meningkat apabila banyak peserta kembali menyertai himpunan itu selepas berehat selain daripada mereka yang baharu datang untuk menyertai aktiviti itu di Dataran Merdeka di sini dan padang Song Kheng Hai di Kuching.

Di Sabah, peserta perhimpunan itu yang diadakan di Taman Awam Likas di Kota Kinabalu bersurai pada pukul 9 malam dan perhimpunan itu akan disambung kembali pada pukul 8 pagi esok.

Di Dataran Merdeka, peserta perhimpunan itu mendengar ceramah pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) daripada atas badan lori yang diubah suai menjadi pentas lengkap dengan sistem pembesar suara.

Ceramah mereka juga diselangi dengan deklamasi sajak dan persembahan lawak jenaka, selain daripada persembahan lagu yang bermesej politik.

Sebahagian daripada peserta juga meluang masa untuk makan malam di restoran berhampiran sementara yang lain membeli-belah di Pasar Seni, Jalan Petaling dan kawasan berdekatan.

Di Kuching, peserta kembali ke padang Song Kheng Hai pada pukul 9 malam dan mendengar ceramah dan deklamasi sajak. Mereka juga menyalakan lilin.

Wartawan di lapangan juga mendapati keadaan di kedua-dua tempat berada dalam keadaan terkawal walaupun ribuan peserta memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Perhimpunan Bersih 4 selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis, dianjurkan oleh kumpulan pembaharuan pemilih Bersih 2.0 yang mendakwa memperjuangkan antara lainnya pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");