Panasnya Hari Ini

Polis Jadi Alat ‘ Tangan Tersembunyi’ – Izzah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan penangkapan 16 aktivis mahasiswa di hadapan bangunan Parlimen malam tadi oleh pihak polis telah mencemarkan prinsip demokrasi Malaysia.

Katanya lagi, insiden yang berlaku malam tadi telah menunjukkan bahawa institusi-institusi dalam negara ini telah ‘dirobek’.

“Saya percaya kesemua mahasiswa itu hanya mahukan jawapan dan kebenaran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan tetapi yang mengecewakan jawapan yang diberikan ialah lokap dan tindakan agresif daripada pihak polis,” katanya, memetik laporan Malaysian Insider.

Terdahulu, kira-kira 30 mahasiswa yang menggelarkan kumpulan mereka Langkah Siswa telah melakukan protes ‘Selamatkan Negara’ dengan berikrar untuk duduk di hadapan Bangunan Parlimen sehinggalah Najib bersetuju untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, tindakan berkenaan merupakan satu komplot kerajaan untuk memberi amaran kepada rakyat supaya tidak menentang gejala rasuah di Malaysia.

“Polis yang seharusnya menjadi benteng mempertahankan rakyat, sebaliknya menjadi alat ‘tangan-tangan tersembunyi’ untuk meneruskan agenda pemusatan kuasa,” ujarnya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu, Izzah turut memberi peringatan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya berhenti menjadi alat pengongkongan demokrasi.

“Ingin saya mengingatkan Ketua Polis Negara supaya berhenti menjadi alat pengongkongan demokrasi dan berhenti memburu para pengkritik kerajaan yang hanya menggunakan kebebasan yang telah termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Malaysia,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, pemimpin yang waras dan beretika akan cuba untuk meyakinkan masyarakat tentang apa sahaja perkara berbangkit dengan cara rundingan berhemah dan mengikut undang-undang.

“Bukannya dengan kekerasan yang berlindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang.

“Insiden ini memberi satu isyarat kepada rakyat, pada saat yang getir ini, rakyat perlu bersatu padu dan menyatakan hak mereka kerana keadaan kini sudah semakin parah dengan ringgit jatuh menjunam, kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi yang tidak stabil,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");