Panasnya Hari Ini

Politik Malaysia Perlu Ikut Cara DAP Atau Digelar Pengkhianat – Raja Petra

KUALA LUMPUR: Penulis blog politik tanahair, Raja Petra Kamaruddin mendakwa, dunia politik tanahair perlu mengikut cara DAP atau akan digelar pengkhianat.

Beliau menerusi penulisannya dalam laman portal Malaysia Today berkata, oleh kerana beliau tidak pernah menyokong DAP, beliau telah digelar pengkhianat oleh parti tersebut.

“Kerana saya tidak bersetuju dengan apa yang mereka lakukan bererti saya adalah pengkhianat. Pengkhianat kepada apa? Pengkhianat kepada Negara atau pengkhianat kepada DAP?

“Kesetiaan saya hanya kepad Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS. Jika anda menganggap Hadi dan PAS sebagai musuh anda, maka saya juga menganggap anda sebagai musuh saya,” tegasnya.

Katanya lagi, DAP telah menggunakan pelbagai cara untuk menarik perhatian rakyat bagi memberi sokongan terhadap parti tersebut.

“Mereka telah menggulingkan Tan Sri Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar Selangor) dengan menuduhnya rasuah dan sebagainya. Dan apabila kita berpihak kepada Khalid, mereka marah.

“Kemudian mereka juga telah menyerang Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kerana dia juga menyokong Khalid. PAS mesti mendengar kata DAP dan menghentam Khalid, jika mereka menentang DAP dan menyokong Khalid, maka mereka harus digulingkan,” tambahnya lagi.

Dakwa Raja Petra lagi, DAP turut ‘melaburkan’ banyak wang bagi membiayai kumpulan-kumpulan kecil bagi menjatuhkan Presiden PAS tersebut, namun usaha tersebut gagal.

“Mereka (DAP) menghabiskan beberapa juta untuk membiayai kumpulan kecil dalam PAS untuk melawan Hadi. Tetapi mereka gagal. Kumpulan anti-Hadi hanya memenangi 20 peratus undi.

“Kemudian mereka membiayai kumpulan yang kalah dalam PAS untuk menubuhkan sebuah parti baru. Parti baru ini akan menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk menggantikan PAS,” ujarnya.

Tulis Raja Petra lagi, seorang Ahli Parlimen DAP, Jeff Ooi berkata, ianya adalah baik sekiranya PAS dan UMNO berpecah kepada dua kumpulan.

Beliau mendakwa bahawa DAP turut bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merancang bagi menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan itu sahaja, DAP turut mencadangkan bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad perlu mengetuai pakatan pembangkang yang baharu yang dikenali sebagai ‘Save Malaysia’ yang akan dianggotai oleh mereka untuk menentang UMNO.

“Rancangan mereka adalah selepas PAS dan UMNO berpecah kepada dua kumpulan, maka kuasa politik Melayu akan menjadi lemah.

“Jika kita tidak menyokong DAP, maka kita adalah pengkhianat. Hanya jika menyokong rancangan DAP, kita akan digelar pejuang,” katanya.

Raja Petra turut menegaskan bahawa, beliau sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi untuk menggagalkan rancangan DAP.

“Sekiranya saya perlu menyokong Najib atau sesiapa sahaja untuk menggagalkan rancangan DAP, saya akan berbuat demikian,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");