Membawang Hari Ini

Risteena bukan lagi ‘kayu’

Selepas hampir dua tahun menanti, akhirnya filem kedua lakonan Risteena Munim, Girlfriend Kontrak bakal ditayangkan pada 24 September ini.

Membawa watak utama, filem skala besar arahan sulung pengarah berasal dari Australia, Virginia Kennedy ini mempunyai keunikan sendiri.

Malah ramai yang hadir pada sesi tayangan tertutup bersama media di Kafe Skrin, Hulu Klang, pada 25 Ogos lalu memuji lakonan Risteena sebagai gadis kampung bernama Alisa. Ini filem keduanya selepas Mamak Cupcake.

Di sebalik pujian dan keberkesanan lakonan pelakon asal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, timbul rasa syukur kerana berjaya menepis segala tohmah­an dan kejian lakonan ‘kayu’ yang sering dimomokkan kepadanya dulu.

“Saya mula pun daripada ekstra saja. Hari ini dapat lihat diri saya di skrin besar dan pastinya rasa terharu, nak menangis dan bangga. Ia sesuatu yang saya sudah capai dalam industri.

“Banyak gosip, komen negatif dan kritikan saya terima sebelum ini. Saya tak kisah! Bila sudah masuk ke dalam industri, saya sudah bersiap sedia dengan apa saja orang nak cakap pasal saya.

“Apabila orang bercakap pasal saya, bermakna kewujudan saya disedari. Bila senyap, maknanya orang tak sedar. Ia buatkan saya lagi berkecil hati, jadi biarlah orang kutuk saya,” katanya pernah membintangi Carlos, Menjinak Ombak, Playboy Itu Suami Aku dan Plan B.

Risteena, 25, mengambil setiap kritikan itu dari sudut positif supaya boleh perbetulkan mana-mana kesilapan sambil meningkatkan prestasi sendiri. Terutama apabila dikritik ‘kayu’ oleh beberapa pihak pada awal pembabitannya dalam industri.

Katanya, tidak semua orang dilahirkan sebagai pelakon berbakat dan dia masih dalam proses pembelajaran.

“Mungkin masa tahap saya sedang belajar, orang ‘kondem’ dan jatuhkan saya, tapi ia tidak buatkan saya terfikir untuk berhenti kerana ini (bidang lakonan) adalah satu-satunya sumber pendapatan saya.

“Saya tahu, satu hari nanti saya boleh buktikan sebaliknya. Saya fikir kalau tidak sekarang, sampai bila saya boleh buat? Saya percaya praktikal dan pengalaman adalah lebih mahal dan saya sedarinya sekarang,” katanya.

Malah tanpa berselindung, pelakon yang mula dikenali melalui drama Menjinak Ombak menyedari lakonannya semakin bertambah baik.

Ia terbukti apabila keba­nyakan pengarah yang bekerja bersamanya kembali memanggil Risteena untuk projek terbaru mereka.

Dari situ, Risteena atau Nur Risteena Munim Zainul Ilyas berharap penonton dapat terus memberi peluang kepada pelakon baru untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman agar lakonan lebih mantap.

“Sebab lama-lama mereka akan belajar dan pandai dengan sendiri juga. Pelakon dulu pun pernah lalui benda sama sebelum mereka betul-betul diiktiraf,” katanya.

Rancak berbual mengenai pengalaman menarik berlakon bersama Keith Foo, Fara Fauzana, Bront Palarae dan Azad Jasmin, Risteena ditembak isu lalu mengenai proses pengajiannya yang didakwa tertangguh.

Katanya, dek tangguh terlalu lama, aktres itu berkemungkin­an tidak akan menyambung kembali pengajian dalam Ijazah Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka.

“Ikutkan UiTM beri tempoh setahun saja, kemudian saya perlu perbaharui semula pengajian, tapi sejak jadual lakonan saya semakin padat hari ke hari, saya tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Mungkin selepas ini saya akan sambung belajar di kolej swasta saja. Lagipun, saya terfikir kalau sudah berkahwin pun masih boleh sambung belajar,” katanya sudah pun memiliki diploma dalam bidang sama sebelum ini.

Biarpun tertekan dengan situasi itu, anak kedua daripada lima beradik ini lega kerana mendapat sokongan keluarga yang berpendapat proses pembelajaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Apatah lagi kerjaya seni gadis kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini sedang rancak berbanding di awal pembabitan kira-kira tiga tahun lalu.

Risteena turut akui menyimpan hasrat bergelar pe­ngarah atau produser pada masa depan. Namun sebelum menggalas tang­gungjawab itu, dia dalam proses me­nyimpan modal untuk melakukan bisnes sendiri.

“Saya belum putuskan lagi bisnes apa yang akan dilakukan. Tapi bila dah cukup duit untuk buat modal, semua benda boleh buat,” katanya berseloroh.

Selain tampil dengan filem Girlfriend Kontrak pada September ini, Risteena juga bakal muncul melalui dua lagi filem, Chowrasta dan Anak Mami: Nasi Kandar yang masih menantikan tarikh tayangan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");