IPOH: Perak telah memperuntukkan sejumlah RM250 juta untuk penganjuran Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) di negeri itu.
Peruntukkan tersebut termasuklah RM200 juta untuk membina serta menaiktaraf tempat baru dan sebanyak RM50 juta lagi untuk perbelanjaan pengurusan sepanjang sukan itu berlangsung.
Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah membuat keputusan untuk memberikan bantuan geran penganjuran kepada Kerajaan Negeri yang berjumlah RM50 juta meliputi kos pembinaan dan menaiktaraf infrastruktur serta pentadbiran SUKMA 2018.
“Memandangkan jumlah geran tersebut tidak mencukupi, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mendapatkan tambahan geran daripada Kerajaan Pusat bagi tujuan pembinaan venue (tempat) pertandingan yang memerlukan dinaiktaraf mengikut spesifikasi dan pengiktirafan badan sukan dunia.
“Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk memastikan segala perancangan bagi menganjurkan Temasya SUKMA 2018 ini dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta akan berjalan dengan cemerlang serta menjadi penganjur terbaik,” kata Datuk Shahrul Zaman Yahaya (BN – Rungkup) ketika menjawab soalan lisan daripada Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN – Manjoi) dalam Mesyuarat Kedua, Dewan Negeri, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri berkata, SUKMA 2018 ini yang dianggarkan akan disertai oleh 20,000 para kontinjen akan mampu memberi kesan positif terhadap negeri itu.
“Ini secara langsung dapat mempromosikan industri pelancongan dengan memperkenalkan makanan tradisi yang terdapat di negeri Perak.
“Selain itu, Perak juga akan memperolehi infrastruktur dan kemudahan sukan yang baru untuk kegunaan jangka masa panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrul berkata lagi, sebuah jawatankuasa induk SUKMA 2018 yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan ditubuhkan bagi memastikan persiapan sukan tersebut berjalan lancar, .
“Bagi memastikan venue pertandingan berada tahap yang terbik, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah melaksanakan beberapa pemantauan dan penilaian sejak Disember 2014 bagi 24 jenis sukan yang dipilih meliputi tujuh buah daerah.
“Ia juga merangkumi persediaan negeri untuk memilih perkampungan kontinjen bagi menempatkan atlet dan pegawai daripada setiap negeri yang bertanding dengan mengambil kira keselesaan, kemudahan dan fasiliti yang terdapat di tempat tersebut,” katanya.
Tambahnya, Sekretariat SUKMA Perak 2018 juga bakal dilaksanakan untuk menjalankan kerja-kerja operasi dan pengelolaan bermula pada November ini sehingga berakhirnya Temasya SUKMA Perak 2018.