Membawang Hari Ini

Sedia geletek penonton

Bukan hanya meng­angkat sejarah muzium, filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium juga sarat de­ngan mesej positif sekali gus memenuhi cita rasa penggemar genre komedi tempatan.

Selain kekuatan skrip, karya garapan Mamat Khalid ini diperhebatkan de­ngan lakonan mantap Usop Wilcha, Namron, Nasir Bilal Khan, Along Ezzendy, Farah Dhiya dan pendatang baru, Elizabeth Tan. Lebih menarik ia turut dibinta­ngi pelakon berpengalaman seperti Hitler Zami, Pyan Habib, Kamarul Yusoff dan Man Kadir.

Filem terbitan bersama Mountingboard Productions Sdn Bhd dan D Siney Production serta Pencil Pictures & Records Sdn Bhd bertindak selaku pengedar mula menjengah pawagam seluruh tanah air 3 September ini.

Penerbit dan penulis skrip, Usop mengakui dia berdepan pelbagai ujian dan tekanan untuk merealisasikan filem sulungnya itu.

“Apapun yang berlaku antara saya dan Mamat, saya tetap berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya berterima kasih dengan semua pihak yang terbabit menjayakan filem ini termasuk kru produksi dan pelakon. Mereka komited sepanjang penggambaran,” katanya.

Ditanya kenapa memilih Mamat sebagai pengarah filem itu, kata Usop, dia selesa bekerjasama dengan rakannya itu sejak dulu.

“Ada juga bertanya kenapa saya tidak mengarah sendiri filem ini dan kenapa pilih Mamat? Terus terang, saya lebih suka berlakon dari mengarah.

“Mamat jadi pilihan kerana saya sudah tahu cara kerjanya dan dia sudah saya anggap seperti abang kandung.

“Sebagai penerbit, saya ambil tahu semua perkara. Malah, saya bertanggung­jawab memilih pengarah, kru dan pelakon. Saya turut berbincang dengan Mamat apa yang perlu ada dalam filem ini,” katanya pada majlis pratonton filem itu di Cathay Cineleisure, The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Mengulas dakwaan dia bergaduh dengan Mamat ketika filem terbabit, Usop menafikannya.

“Siapa kata kami bergaduh? Sebagai penerbit dan penulis skrip, saya berhak campur tangan karya dihasilkan. Maklumlah kos filem ini mencecah RM2 juta.

“Pastinya saya mahu yang terbaik. Walaupun jadual kerja Mamat padat, saya berpuas hati dengan komitmennya terhadap filem ini,” katanya.

Mengenai dakwaan filemnya ada persamaan dengan karya Hollywood, Night At The Museum, Usop tidak melatah sebaliknya tenang menjawab perkara terbabit.

“Kalau ada persamaan pun mungkin dari segi subjek muzium yang diketengahkan dalam filem ini. Terus terang, saya tidak terfikir pun mengenai filem Night At The Museum ketika menulis skrip cerita ini dan hanya menonton filem itu apabila ada orang cakap ia ada persamaan dengan filem saya.

“Apapun persepsi orang terhadap filem ini, niat saya baik iatu mahu menarik minat generasi muda berkunjung ke muzium yang menyimpan pelbagai khazanah negara dan menghargainya,” kata Usop.

Mengulas pemilihan Elizabeth sebagai Tyra pula, kata Usop, ketika menulis skrip, dia sudah membayangkan barisan pelakon yang akan beraksi dalam filemnya itu.

“Saya memang tidak kenal siapa Elizabeth yang juga bintang kelahiran YouTube itu. Apabila diperkenalkan, saya tidak pandang wajahnya.

“Namun, selepas mendengar dia bercakap, saya tahu dialah pelakon wanita yang saya cari untuk watak heroin. Walaupun ini penampilan pertamanya di layar perak, saya berpuas hati dengan lakonannya,” kata­nya.

Mamat hormati skrip Usop

Kemunculan Mamat pada malam pratonton filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium mencuri perhatian media.

Ketika ditemui Mamat berkata, dia hadir untuk memberi sokongan terhadap filem berkenaan.

“Memang saya pengarah tetapi skripnya olahan Usop dan saya harus menghormatinya sebagai penulis skrip filem ini. Apapun, saya lebih suka melihat apa yang berlaku antara kami sebelum ini dari sudut positif kerana sama-sama inginkan hasil terbaik.

“Apa yang penting misi kami sama iaitu mahu memartabatkan industri filem tanah air. Saya percaya Usop tahu apa yang dia buat dan pastinya dia inginkan yang terbaik untuk filemnya,” katanya yang sebelum itu dilihat berpelukan dengan Usop.

Filem ini menjalani penggambaran sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Tanjung Malim, Perak.

-http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");