KUALA LUMPUR: Polis memberkas 35 individu dipercayai terlibat African Scam di beberapa lokasi sejak bulan lalu, membabitkan kerugian RM1,033,500.
Timbalan Pengarah Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya menahan 23 lelaki dan enam wanita Afrika serta empat wanita tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan Thailand dalam Ops Tiong bagi memburu sindiket penipuan itu.
“Kita mengadakan serbuan di beberapa lokasi, antaranya sebuah kolej di Nilai (Negeri Sembilan), Bukit Serdang, Damansara Damai, Petaling Jaya, Salak Selatan dan Puchong,” Katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah berkenalan dengan mangsa di laman sosial seperti Facebook menggunakan profil diri menggoda bagi memperdayakan mangsa.
“Sindiket menyasarkan mangsa terdiri daripada golongan wanita kesepian, ibu tunggal, golongan profesional dan isteri orang.
“Suspek akan memasang jerat setelah berjaya meyakinkan mangsa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mengatakan ingin memberi hadiah berharga.
“Mangsa perlu pergi mengambil hadiah itu yang konon di dalam simpanan kastam dan mangsa perlu membayar sejumlah wang untuk mengambil hadiah itu,” katanya.
Hamza berkata, pihaknya percaya menyelesaikan 29 kes dan nilai kerugian diselamatkan sebanyak RM1.8 juta.
Dalam perkembangan sama, JSJK Bukit Aman menerima sebanyak 761 laporan membabitkan kerugian RM25,901,885,24 antara Januari dan bulan lalu.
-Sinar Harian