Panasnya Hari Ini

Singkirkan Najib, Kekalkan Pemerintahan BN – Mahathir

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangkang perlu mencari formula untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun perlu mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Jika pembangkang benar-benar ingin menyingkirkan Najib, mereka boleh berbuat sedemikian sekiranya hanya Najib yang pergi, namun kerajaan BN perlu terus kekal dan dipimpin oleh pemimpin.

“Pihak pembangkang perlu mencari formula yang bakal memperlihatkan BN tanpa Najib, namun masih membentuk kerajaan jika mereka mahu mendapat sokongan Ahli Parlimen dari BN,”katanya menerusi catatan terbaru di blog beliau, chedet.cc.

Beliau turut yakin bahawa terdapat Ahli Parlimen dari UMNO yang mahu melihat Najib diturunkan jawatan Perdana Menteri.

“Mereka pun tidak dapat menerima penjelasan yang tidak masuk akal mengenai kehilangan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau wang RM2.6 billion yang terdapat dalam akaun peribadi Najib.

“Ahli Parlimen ini boleh bersama-sama pembangkang untuk undi tidak percaya (terhadap Najib),”ujarnya.

Tambahnya lagi, ramai Ahli Parlimen BN terhutang budi pada Najib apabila ditawarkan jawatan dalam kerajaan.

“Ramai antara mereka yang datang mengadu tentang pentadbiran Najib kepada saya sebelum ini telah berubah pendirian setelah diberi jawatan dalam kerajaan.

“Salah seorang daripada mereka yang pernah mendakwa ada bukti dokumen yang berkaitan tentang salah laku Najib, kini dengan senang hati telah menyokong Najib setelah dilantik menjadi Menteri,” tegasnya.

Melalui catatan terbaru itu juga, Mahathir menyatakan bahawa sokongan kepada presiden hanya kerana untuk menyokong pelaksanaan dasar-dasar parti, bukan peribadi.

Tulis mantan Perdana Menteri itu lagi, Ahli Parlimen BN yang ingin melakukan undi tidak percaya telah digertak dengan pendedahan nama mereka kepada umum.

“Mereka (Ahli Parlimen BN) akan dituduh bekerjasama dengan pembangkang.

“Ia merupakan satu bentuk amaran kepada ahli BN untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");