Berita Hari Ini

SPiKE bantu usahawan

SEREMBAN: Bagi meningkatkan daya saing di kalangan kontraktor Melayu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), dalam usaha membantu usahawan bumiputera.

Pengarah Mara negeri, Mumfahir Suparja berkata, bantuan dana ini diperuntukkan bagi membantu kontraktor Melayu kelas F, E, D, C, G1 dan G5, melaksanakan projek yang ditawarkan kepada mereka dengan sempurna.

Katanya, ramai kontraktor bumiputera yang mampu melaksanakan projek pembinaan mahupun pembekalan, tetapi tidak mempunyai modal yang cukup.

“Apabila SPiKE ini diwujudkan pada empat lalu, ramai kontraktor bumiputera yang kita bantu dari segi pinjaman kewangan. Melalui skim ini, seorang kontraktor boleh membuat pinjaman minima RM250,000 sehingga RM 1 juta, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Setelah projek mereka siap, jabatan yang memberi kerja kepada kontraktor itu, membuat pembayaran kepada Mara, dan wang selebihnya akan dipulangkan semula kepada kontraktor.

“Dari situ, kita dapat mengelakkan risiko kontraktor yang gagal bayar, kerana urusan pembayaran dibuat terus kepada Mara dengan persetujuan antara pihak yang memberi kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Taklimat dan Jalinan Kerjasama Rakan Strategik Antara Mara, Rural Capital Sdn Bhd (anak syarikat Mara) dan Jabatan Pengeluar Kontrak Negeri Sembilan, di Klana Resort, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Kanan Rural Capital, Zaini Jasmi, Timbalan Pengarah 2 Mara, A.Razu Abd Razak dan Penolong Pengarah Pembiayaan Perniagaan Mara negeri, Norliana Muslim.

Dalam pada itu, Mumfahir memberitahu, pulangan bayaran terhadap pinjaman di negeri ini mencatatkan rekod terbaik apabila ia adalah sifar bolos (berjaya bayar sepenuhnya).

Katanya, mengikut statistik bagi tempoh ini, sebanyak RM37 juta telah dikeluarkan bagi membantu 391 usahawan kontraktor bumiputera, berbanding sebanyak RM47 juta pinjaman untuk 500 usahawan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tahun ini, kita menerima dana sebanyak RM54 juta untuk membantu usahawan bumiputera yang memerlukan modal dalam melaksanakan projek yang ditawarkan,”

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");