Sukan Hari Ini

Takkan nak ‘langgar’ saja?

Kuala Lumpur: Ibarat sudah jatuh di timpa tangga. Itu nasib yang dialami B Sathianathan (gambar) ketika ini.
Sudahlah kariernya selaku jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tergantung begitu saja malah gajinya juga tidak dibayar sejak dua bulan lalu.

Walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Status Pemain sudah memutuskan bahawa tindakan Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) merehatkan bekas jurulatih kebangsaan itu sebagai tidak sah, namun sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada majikannya itu.

“Tak guna saya tanya (mengenai gaji) kepada pihak pengurusan persatuan kerana saya tak akan dapat jawapan. Bila tanya, mereka akan cakap, ini terpulang kepada pihak atasan. Setahu saya, pemain lain sudah menerima gaji bulan Jun lalu.

“Sekarang saya juga turut menunggu reaksi mereka (PBATM) selepas FAM memutuskan tindakan merehatkan saya tidak sah. Apa yang perlu saya lakukan sekarang sama ada perlu kembali ataupun tidak, saya tidak tahu kerana mereka masih belum menghubungi saya, takkan nak ‘langgar’ saja,” katanya kepada Arena Metro semalam.

PBATM membuat keputusan mengejut 14 April lalu apabila mengarahkan Sathianathan berehat selepas skuad The Gladiators dihimpit masalah kemerosotan prestasi dalam kempen Liga Super musim ini.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Datuk Takiyuddin Hassan pada 27 Julai lalu memutuskan bahawa notis yang diberikan PBATM kepada Sathianathan tidak sah kerana melanggar prosedur yang ditetapkan.

FAM memberikan tempoh 14 hari untuk PBATM mengemukakan rayuan jika tidak bersetuju dengan keputusan itu dan jika tiada rayuan dibuat, Sathianathan dibenarkan kembali menjadi jurulatih ATM.

“Mengenai keputusan itu, saya sudah dimaklumkan sendiri oleh FAM dan sepatutnya ATM perlu menulis surat kepada saya mengenai tindakan lanjut mereka,” katanya yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");