Panasnya Hari Ini

Tidak Percaya Ada Konspirasi Jatuhkan Kerajaan – Rafidah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz tidak percaya terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh beberapa pihak yang mengatakan bahawa terdapat pemimpin UMNO yang cuba untuk menjatuhkan pemimpin parti itu dan juga kerajaan.

Kata Rafidah, beliau terkejut dengan dakwaan-dakwaan tersebut dan tidak yakin dengan tuduhan tersebut.

“Saya terkejut dengan cerita-cerita tentang adanya komplot dan konspirasi hendak menjatuhkan pemimpin dan kerajaan serta kononnya bekas pemimpin UMNO sendiri yang menerajuinya. Saya tidak yakin dengan tuduhan-tuduhan seperti itu.

“Tidak ada faedahnya bagi sesiapa juga, terutama dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri untuk menjatuhkan pemimpin serta menggulingkan kerajaan,” katanya menerusi laman Facebook beliau, Rafidah Aziz.

Beliau turut berkata, negara pada masa kini sedang mengalami pelbagai isu serta skandal dan adalah lebih baik usaha ditumpukan untuk menyelesaikan perkara yang sedang berlaku.

“Kita masih dilanda oleh masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad dan wang sumbangan politik RM2.6 billion, menghadapi masalah ekonomi yang tidak menentu kesan daripada pergolakan ekonomi global serta hakisan keyakinan pelabur-pelabur, gejala-gejala parokialisma, kesempitan persepsi serta dan pegangan pandangan ultra dalam pelbagai bidang yang memecahbelah antara kita.

“Pendek kata, perlu sangat pemimpin-pemimpin yang ada sekarang menumpu sepenuh perhatian kepada mentadbir negara dan menyelesaikan masalah,” tulis beliau lagi.

Ujarnya, segala tindakan yang dilakukan oleh pemimpin negara sedang diperhatikan oleh banyak pihak dan mungkin ada yang akan mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku.

“Ahli-ahli parti ramai memerhati segala gelagat yang dipaparkan dihadapan mereka… Pihak-pihak tertentu pasti akan cuba mengekspoitasi gejala-gejala tersebut.

“Rakyat yang mempunyai kuasa mengundi memerhati akan segala permainan dan lakonan politik itu akan membuat penentuan apa yang akan diputuskan apabila sampai masa untuk mengundi,” tambahnya lagi.

Tegasnya, pemimpin UMNO perlu ingat bahawa rakyat yang menentukan kerajaan melalui pilihanraya akan datang dan bukannya melalui konspirasi dan komplot.

“Perlu diingat, bukan komplot dan konspirasi yang menentukan…tetapi rakyat yang akan menentukan sebagai pengundi dalam pilihanraya yang akan datang.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi semalam mendakwa terdapat beberapa pemimpin UMNO menjadi ‘dalang’ bagi menjatuhkan pimpinan serta kerajaan melalui ‘pintu belakang’ yang turut mendapat kerjasama serta sokongan daripada parti pembangkang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");