Petaling Jaya: Kehadiran wakil dari Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai pengawas mesyuarat pemilihan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) mencetuskan kontroversi apabila beberapa wakil delegasi bertindak meninggalkan majlis itu sebagai tanda protes.
Insiden itu berlaku sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) itu selesai yang menyaksikan Datuk P S Nathan berjaya mengekalkan jawatan presiden sejak 1974 dengan mengalahkan pencabar Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dengan 43 undi.
Mohamad Noor yang bertindak meninggalkan AGM bersama beberapa lagi wakil turut gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden yang dimenangi Presiden Persatuan Tenpin Bowling Negeri Sembilan Datuk Mohd Najeeb Abdullah.
Difahamkan tindakan protes itu berlaku kerana mereka mempertikaikan ketelusan Jawatakuasa Pengurusan MTBC dengan melantik Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi dan Datuk Low Beng Choo sebagai pengawas pemilihan itu.
Namun, pemilihan tetap diteruskan dengan persetujuan baki wakil delegasi.
“AGM ini berjalan dengan lancar sehingga beberapa ahli dari Kuala Lumpur dan Perak mempertikaikan pelantikan pemerhati itu. Salah seorang pemerhati itu adalah Pengerusi Biro Undang-Undang (Beng Choo) dan Setiausaha Kehormat MOM (Kok Chi). Tugas mereka adalah untuk memeriksa dan mengesahkan kelayakan calon dan setiap undian.
“Wakil dari KLTBA (Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur) mencabar integriti dua pengawas dari OCM ini. Saya membantah tindakan mereka mempertikaikan pelantikan ini kerana mereka individu bebas dan tidak memihak kepada mana-mana pihak,” kata Nathan selepas mesyuarat itu.
Pemilihan itu menyaksikan kerusi Naib Presiden kanan menjadi milik Kenny Yap, Naib Presiden Din Md Dali, Mazlan Mohd Said, Mohd Fadli Abdullah, Nadzmi Mohd Azahar dan Robert Lu bagi penggal 2015-2018.
George Tan dipilih sebagai bendahari, manakala jawatan Setiausaha Agung akan dilantik presiden pada mesyuarat seterusnya, namun buat masa ini tugas itu disandang Cheah Ban Cheng.
-Metro