Panasnya Hari Ini

Tun M Nafi Ada Wang Derma Pilihan Raya Masuk Dalam Akaun Peribadi

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada satu sen dari wang derma bagi pilihan raya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sepanjang beliau bergelar perdana menteri selama 22 tahun.

Memetik sumber Mstar,Mahathir turut menegaskan sepanjang beliau berkhidmat sebagai perdana menteri dan presiden Umno tiada sejumlah wang untuk kegunaan pilihan raya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menyifatkan jika ada pihak yang menuduh sedemikian ia merupakan fitnah yang tidak berasas.

“Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya. Saya bersedia membenarkan semua akaun peribadi saya selama 22 tahun saya menjadi perdana menteri diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya menerusi blognya, chedet.cc pada Isnin.

Mahathir berkata, semasa beliau menjadi presiden Umno, beliau merupakan antara tiga pemegang amanah yang akan menandatangani buku cek bagi pihak parti.

“Semua derma, terutama semasa pilihan raya dimasukkan dalam akaun ini. Dua dari mana-mana tiga pemegang amanah diberi kuasa untuk mengurus akaun ibu pejabat dan menandatangani cek apabila mengeluarkan wang. Pemegang amanah ini juga dinamakan sebagai pemilik saham-saham dan hartanah milik Umno.

“Bila saya letak jawatan sebagai presiden, saya telah arah wang tunai lebih RM200 juta dan saham-saham bernilai lebih RM1.2 bilion diserahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pula,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai pilihan raya pada tahun 1964 dan 1969, dan mengakui bahawa wang tunai berjumlah RM20,000 telah diserahkan kepada beliau oleh Ibu Pejabat parti untuk diagih kepada calon-calon kawasan parlimennya dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerana saya tidak sanggup simpan wang tunai dengan jumlah yang besar ini, saya masukkannya dalam akaun saya dan saya keluarkan cek kepada jawatankuasa pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut agihan yang ditentukan oleh ibu pejabat. Wang ini bukan dari penderma tetapi ini adalah wang Umno yang memang pun diberi kepada bahagian untuk kegunaan calon.

“Semasa saya disingkir dari parti pada 1970, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah datang mengeledah rumah dan klinik saya. Mereka jumpa cek yang telah dikeluarkan oleh saya dan mereka mendakwa saya tidak lapor pendapatan saya sepenuhnya,” katanya sambil menambah yang beliau telah dikenakan denda RM130,000 kerana tidak melaporkan mengenai cek RM20,000 berkenaan.

Ujarnya lagi, terdapat sedikit perbezaan antara wang tunai RM20,000 yang diterima beliau dengan cek berjumlah AS$700 juta atau RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya lagi, tiada banyak wang yang digunakan jika disemak perbelanjaan pilihan raya sebanyak lima kali yang diadakan semasa menjadi presiden Umno namun Barisan Nasional menang majoriti di parlimen.

“Jika sekarang Umno perlu RM2.5 billion untuk pilihan raya, ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihan raya. Akaun perbelanjaan pilihan raya tiap seorang calon perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan ada had siling.

“Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu. Saya mohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak dari rasuah berlaku,” katanya.

Mengulas pula mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau enggan  mempersoalkan  sumber  AS$700 juta itu dan hanya akan menunggu laporan akhir Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");