BUKIT MERTAJAM: UMNO adalah parti terkuat dan dikenali seantero dunia terutamanya di negara-negara Islam, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Jangan kata kita tidak mampu untuk berdepan dengan pilihan raya, kita berani…sekarang kita (UMNO) memiliki 88 kerusi di Parlimen dan kita ada sembilan negeri yang mempunyai Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada 14 buah negeri, jangan kata UMNO lemah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika timbul gesaan supaya anggota-anggota UMNO mempersiapkan diri dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan dekat di sini, semalam.
Beliau berkata UMNO juga adalah parti yang sentiasa mendengar denyut jantung rakyat serta tidak rasis.
“Sudah termaktub dalam perlembagaan UMNO bahawa parti itu dituntut untuk tidak mengetepikan hak-hak kaum lain,” katanya.
-BERNAMA