Sukan Hari Ini

‘Usah letak harapan’

Kuala Lumpur: Jangan terlalu letak harapan tinggi terhadap Zulfadli Zulkiffli!

Itu mesej jelas disampaikan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen terhadap pemain persendirian itu pada saingan Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia bermula 10 hingga 16 Ogos ini.

Malah, tanpa berselindung, Frost tegas menyatakan Zulfadli belum mencapai standard untuk menjadi prospek memenangi Kejohanan Dunia.

“Zulfadli belum mempunyai standard untuk memenangi Kejohanan Dunia. Dia memang layak untuk beraksi tapi adalah lebih kepada proses pembelajaran untuknya.

“Agak terlalu jauh untuk meletakkan sasaran yang mencadangkan dia mampu memenangi Kejohanan Dunia,” katanya pada sidang media semalam.

Bagaimanapun, jelas Frost, Zulfadli seorang pemain istimewa dan mampu pergi jauh kerana mempunyai skil permainan menarik.

“Jadi segala-galanya bergantung kepada proses pembangunan dirinya sendiri. Segala-galanya tidak mustahil untuknya memenangi Kejohanan Dunia tapi bukan tahun ini,” katanya.

Selain Datuk Lee Chong Wei, BAM mengambil keputusan untuk memilih Zulfadli beraksi di Jakarta sekali gus terpaksa mengetepikan Chong Wei Feng yang sudah layak secara merit.

Zulfadli bakal berdepan laluan sukar bermula dari pusingan pertama lagi apabila akan menentang pilihan keenam dari Taiwan Chou Tien Chen.

Jelas Frost lagi, Zulfadli serta seorang lagi pemain luar BAM Lyddia Cheah tidak akan menyertai kem latihan bersama barisan pemain BAM bermula semalam.

“Kedua-dua pemain ini akan meneruskan latihan mereka seperti biasa dan kita akan jumpa mereka di Jakarta.

“Di sana, barulah kami akan berlatih bersama kerana pihak penganjur hanya akan memberikan tempoh waktu yang sama kepada setiap pemain Malaysia untuk turun menjalani latihan,” katanya.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");