IPOH: Usaha Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk membincangkan isu pengusiran sebahagian daripada ahli mereka daripada tanah yang bakal dibangunkan untuk projek pembangunan masih gagal.
Penyelarasnya, K Kunasegaran berkata, usaha tersebut gagal selepas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar menghubungi mereka pada jam 9.30 pagi dengan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri enggan bertemu dengan kumpulan petani itu.
“Oleh itu, kita telah menghantar satu surat dan menyatakan kronologi yang telah diambil selama ini dan usaha kita nak berjumpa dengan Menteri Besar gagal.
“Disebabkan itu, Gabungan telah membuat keputusan pada 3 September 2015, kita akan menghantar satu memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya ketika ditemui di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi tadi.
Namun begitu, gabungan tersebut telah menyerahkan surat kronologi dan satu surat makluman untuk memaklumkan kepada Zambry tentang tindakan yang bakal diambil jika permohonan mereka tidak diendahkan dan ianya telah diterima oleh wakil Menteri Besar .
Hampir 30 orang wakil daripada kumpulan tersebut hadir untuk berjumpa dengan Menteri Besar tetapi tidak dibenarkan oleh pasukan polis.
Walaubagaimanapun, perhimpunan itu berjalan dengan aman dan tiada insiden buruk berlaku.
Kunasegaran turut berkata, selain menghantar memorandum kepada Sultan Perak, pihaknya juga akan menjelajah ke seluruh pasar di negeri itu untuk pengedaran risalah.
“Kita akan adakan roadshow ke seluruh pasar di negeri Perak dan kita akan edarkan risalah untuk meminta rakyat menghantar surat, email, Twitter ataupun Facebook kepada Menteri Besar supaya berjumpa dengan golongan petani.
“Selain itu, kita juga telah berunding dengan peguam hak asasi manusia dari Kuala Lumpur untuk berbincang kemungkinan besar jika boleh kita mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan negeri untuk berjumpa dengan golongan petani ini,”ujarnya.
Beliau turut menyangkal dakwaan kerajaan negeri yang mengatakan sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada kumpulan petani.
“Baru-baru ini Menteri Besar kata, kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada kumpulan ini. Ia adalah tindakan yang tidak wajar.
“Kami tidak mahu kerajaan negeri tunduk kepada mana-mana pihak, tetapi kepada rakyat, kerajaan negeri mesti ada satu hubungan yang baik tanpa ada fahaman politik, ideologi ataupun kaum. Beliau adalah Menteri Besar untuk semua.
“Oleh itu, kita masih terbuka jika beliau memanggil kita, kita akan datang berjumpa sebelum 3 September ini,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan itu bukanlah anti pembangunan, tetapi mengharapkan kerajaan negeri tidak meminggirkan mereka.
“Kami bukan anti pembangunan. Kalau tempat itu perlu dibangunkan, kita tak menghalang.
“Tapi bagaimana dengan kawasan pertanian yang mereka sudah usahakan sejak turun temurun, itulah isunya,”katanya.
Ujarnya lagi, beliau turut berasa pelik apabila pemimpin Pakatan Rakyat juga turut berdiam diri apabila perkara ini diadukan kepada mereka.
“Pada 20 November 2014, sebanyak 28 surat jemputan telah dihantar kepada Pakatan Rakyat untuk hadir ke pertemuan khas pada 6 Disember lalu tetapi hanya dua orang sahaja yang hadir.
“Selepas beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlalu, sehingga ke hari ini, tidak mereka naikkan isu ini, kami tidak faham mengapa,”soalnya.
Selain itu, seorang wakil daripada gabungan tersebut turut menegaskan bahawa Parti Sosialis Malaysia (PSM) hanya menjadi koordinator kepada kumpulan itu sahaja.
“Menteri Besar pernah cakap, dibelakang petani-petani ini, PSM yang ‘menyucuk’ untuk buat kacau. Saya ingin menegaskan perkara ini tidak ada kena mengena dengan PSM.
“PSM hanya menjadi koordinator kita sahaja. Dulu kita pernah cari MCA dan DAP, tapi mereka tak pernah menolong.
“Kita tak paksa kerajaan tunduk kepada kita, kita hanya minta satu rundingan sahaja. Itu suara petani,” katanya.