Jenayah

Warga emas lumpuh nyaris maut

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas yang lumpuh nyaris maut dalam kebakaran melibatkan enam buah rumah di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Kembang Jusoh, 70, berjaya diselamatkan oleh salah seorang ahli keluarganya dalam kebakaran kira-kira jam 1.10 pagi itu.

Dalam kejadian berkenaan, tiga rumah musnah sepenuhnya manakala tiga rumah lagi turut mengalami kerosakan, melibatkan 35 mangsa daripada enam keluarga.

Menurut salah seorang mangsa, Syarifah Nurul Naadia Tuan Othman, 30, ketika kejadian, dia baru sahaja melelapkan mata namun terdengar bunyi bising dari tingkat atas rumahnya.

“Sebelum kejadian, saya mandi kira-kira jam 12 tengah malam dan makan. Pada mulanya saya mahu menggosok baju tapi kerana keletihan, saya tidur. Tapi tidak lama selepas itu, saya dengar bunyi bising dari tingkat atas.

“Saya dengar anak saudara (Azwani Maizurah Azizul, 20) menjerit dan suami saya ambil keputusan untuk naik ke tingkat atas. Pada masa yang sama, saya terdengar seakan bunyi bunga api.

“Kemudian suami bergegas turun dan kata rumah terbakar. Pada masa itu, suasana kelam kabut dan masing-masing menjerit dan minta hubungi bomba segera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Barang kemas, wang tunai RM10,000 hangus

Dalam suasana kelam kabut dan api sudah mula marak, mereka kemudiannya segera menyelamatkan diri.

Mujurlah pada masa itu, salah seorang ahli keluarganya, Mohamad Suhaimi Mohamad, 42, bertindak pantas menyelamatkan ibunya, Kembang yang lumpuh dan berada di tingkat bawah.
Pada masa kejadian, tiga ahli keluarganya berada di tingkat bawah manakala 10 orang lagi berada di tingkat atas.

Syarifah Nurul Naadia berkata, selain barang kemas, wang tunai kira-kira RM10,000 milik ahli keluarganya musnah dalam kebakaran itu.

Seorang lagi mangsa, Faridah Mamat, 47, berkata, kediamannya hanya mengalami sedikit kerosakan melibatkan atap dan tingkap.

“Rumah saya itu didiami anak saudara (Faizal Yusri, 20) manakala saya tinggal di rumah bersebelahan. Ketika kejadian, saya terdengar seakan bunyi bunga api, tapi rasa tidak sedap hati bila dengar jeritan.

“Saya keluar rumah dan tengok api sedang marak. Mujurlah anak saudara saya sempat melarikan diri kerana bimbang api merebak,” katanya.

Kedudukan rumah rapat

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.14 pagi.

Susulan itu katanya, 22 anggota bomba dengan kekuatan empat jentera bomba dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dikejarkan ke tempat kejadian.

“Hasil tinjauan kita, kebakaran berlaku dalam kawasan kampung yang padat dengan terdapat lebih daripada 10 buah rumah. Ada antaranya jarak tidak sampai dua meter dan kita berusaha memadamkan kebakaran agar tidak merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 2.31 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.01 pagi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan punca dan kerugian sedang dijalankan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");