Sukan Hari Ini

Zahasmi puas tunduk Harimau Selatan

PENGENDALI sementara The Red Warriors, Zahasmi Ismail menjadi individu paling gembira di sebalik kejayaan pasukannya memalukan Johor Darul Ta’zim (JDT), 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Zahasmi berkata, kemenangan besar itu memberi kepuasan yang tidak ternilai bagi dirinya sambil menyifatkan ia hadir tepat pada masanya selepas pasukannya tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan disiplin tinggi serta komitmen terbaik sehingga kita meraih tiga mata penting pada malam ini.

“Ia (kemenangan) adalah kemahuan yang datang daripada pemain sendiri dan mereka terjemahkannya di atas padang menerusi persembahan paling menarik sejak saya melatih pasukan ini dalam lapan perlawanan lalu,” katanya.

Pada perlawanan yang disifatkan cukup berprofil tinggi itu, Kelantan hanya memerlukan empat minit untuk berada di depan menerusi Gilmar Dos Santos Filho sebelum kapten, Mohd Badhri Radzi menggandakan jaringan hasil sepakan penalti minit ke-13.

Biarpun JDT berjaya merapatkan jurang hasil tolakan Mahalli Jasuli (m-50), namun tuan rumah kembali menjarakkan kedudukan menerusi sentuhan Mohd Norfarhan Muhammad dua minit kemudian sebelum Dos Santos Filho melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 tujuh minit sebelum permainan berakhir.

Malah jurulatih berusia 48 tahun itu juga sama sekali tidak menyangka Kelantan mampu melakarkan kemenangan besar apatah lagi skuad bimbingan Mario Gomez hadir ke Kota Bharu dengan rekod cemerlang tidak pernah kalah dalam 10 perlawanan lalu.

“Kunci kemenangan kami pada malam ini ialah mereka bermain mengikut arahan saya sepanjang masa,” katanya.

Zahasmi turut mendedahkan percaturannya menggunakan sistem penggiliran ketika pasukannya dibelenggu masalah kecederaan pemain terbukti membuahkan hasil.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");