Jenayah

3 gadis sunti hampir diculik

Bachok: “Saya hampir pengsan dan hanya mampu menangis apabila tudung saya ditarik seorang lelaki yang cuba menculik kami,” kata Nor Ain Saliken Mazlan, 10, mangsa cubaan culik lima lelaki yang menaiki kereta Proton Wira dalam kejadian di Kampung Sador, Tawang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, dua rakannya, Faezah Ahmad Shukri, 13, dan Che Nor Khairiah Amelia Natasha Che Mohd Noor, 11, turut menjadi mangsa cubaan culik itu.

Bagaimanapun, jeritan kanak-kanak itu didengari penduduk kampung sebelum lima suspek terbabit melarikan diri.

Nor Ain berkata, ketika kejadian, dia dan dua rakannya itu dalam perjalanan ke rumah guru mengaji yang terletak satu kilometer (km) dari rumah mereka.

Katanya, pada awalnya seorang lelaki mengekori mereka hingga membuatkan mereka berasa tidak sedap hati dan membaca ayat Qursi untuk meredakan ketakutan.

“Apabila tiba di kawasan gelap, sebuah kereta berhenti di hadapan kami sebelum rakan saya, Che Nor Khairiah melarikan diri. Pada masa sama, seorang lelaki keluar menarik tudung saya untuk masuk ke dalam kereta hingga menyebabkan saya terkejut lalu menjerit meminta tolong.

“Bagaimanapun, Faezah nekad membantu menarik tangan saya dengan sekuat hati sebelum seorang lagi lelaki turun dari kereta dan mahu menarik kami.

“Kami berjaya melepaskan diri dan berlari meminta tolong dan bersyukur kerana ada seorang lelaki membantu menyelamatkan kami,” katanya.

Menurutnya, melihat mereka berlari ke arah lelaki itu, lima lelaki terbabit melarikan diri dengan kenderaan mereka.

Faezah berkata, dia mengakui masih trauma susulan kejadian berkenaan.

Ibu Nor Ain, Zainab Che Long, 44, berkata, dia bersyukur kerana anak keenam daripada lapan beradik itu sempat menyelamatkan diri.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");