Sukan Hari Ini

Amukan Ultras Malaya curi tumpuan di Shah Alam

BUKAN aksi mengecewakan dipamerkan pemain Harimau Malaya tetapi tindakan segelintir penyokong yang melabelkan diri mereka Ultras Malaya menjadi tumpuan pada pertembungan keempat Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Apa tidaknya, ketika perlawanan hanya berbaki dua minit terakhir separuh masa kedua ia menjadi detik hitam kepada bola sepak negara apabila aksi mercun roket dan pembakaran suar mewarnai perlawanan Harimau Malaya menentang Arab Saudi.

Segalanya berjalan dengan lancar pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sebelum itu dengan corak permainan seimbang namun memasuki minit ke-88 suasana dalam stadium dilihat tidak terkawal.

Pembakaran suar dan mercun roket dipercayai dilakukan Ultras Malaya mewarnai ketika keputusan memihak kepada Arab Saudi 2-1.

Lebih mengecewakan apabila mercun roket menuju ke arah pemain Malaysia di atas padang dan tempat duduk penyokong Arab Saudi serta satu mercun roket yang hampir menuju ke tempat duduk tetamu kenamaan namun sasarannya sedikit tersasar.

Tindakan itu menyebabkan penyokong Arab Saudi lari bertempiaran menyelamatkan diri selain tindakan pantas pihak keselamatan yang mengarahkan penonton supaya beredar memastikan tiada kejadian buruk berlaku dalam stadium.

Kelakuan mereka boleh mengundang tindakan tatatertib ke atas FAM sekiranya Arab Saudi mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Untuk rekod, AFC pernah mengenakan denda RM18,000 ke atas FAM pada 2009 selepas penyokong Kedah membakar mercun ketika sesi latihan kelab Muharraq dari Bahrain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi aksi suku akhir kedua Piala AFC.

Bagi perlawanan malam kelmarin, pujian perlu diberikan kepada barisan pemain pilihan pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Selepas tewas 10-0 ketika bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), pemain negara berjaya mengekang asakan Arab Saudi seterusnya mengikat pasukan yang dibimbing Bert Van Marwijk 0-0 pada separuh masa pertama.

Dengan formasi 4-3-3, corak permainan Harimau Malaya berubah wajah malam ini dengan menyaksikan rangkaian pemain melaksanakan tugas dengan baik sehingga berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-70 sebelum dibolosi dua kali dalam tempoh lima minit kemudian.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");