Jenayah

Anak menangis bapa kena cekup

TANGGA BATU: Seorang kanak-kanak lelaki menangis sebaik melihat bapanya ditahan penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas dipercayai positif dadah ketika melalui kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Gelam dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengahari, kanak-kanak berusia 12 tahun itu difahamkan baharu sahaja selesai membantu bapanya mengambil upah membetulkan paip di sebuah klinik berhampiran, sebelum ke kawasan berkenaan.

Anak keenam daripada 11 beradik itu turut tergamam berikutan penangkapan dan tidak menyangka selama ini bapanya terlibat mengambil barang salah terbabit.

Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof Kameh berkata, bapa berusia 38 tahun itu antara 97 yang ditahan dalam operasi yang dinamakan ‘Ops Ingkar’ yang dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM).

“Saya melihat ini satu yang tidak wajar sedangkan sepatutnya dia melindungi anaknya tetapi sebaliknya bawa ke tempat penagihan dadah.

“Kanak-kanak ini daripada pemerhatian kita dia memang bersih tetapi aktiviti yang bapanya jalankan boleh membawa kepada kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut.

“Kita amat bimbang dengan gejala ini kerana dia boleh menjadikan kanak-kanak ini menagih dalam usia yang muda kalau tidak dibendung. Walau bagaimana kita akan salurkan ke

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dia terlindung daripada perkara-perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu semalam.
Mohamad Yusof berkata, daripada 97 yang ditahan, 88 orang daripadanya adalah berbangsa Melayu termasuk seorang wanita yang mengekori suaminya ke lokasi berkenaan.

“Dalam operasi yang kita jalankan mulai jam 4 pagi dan berlarutan sehingga jam 1 tengahari ini kita turut mengenal pasti seramai tiga individu yang dipercayai berperanan sebagai tokan dadah.

“Kita turut menemui beberapa pakej dadah jenis heroin seberat dari 1 hingga 5 gram membabitkan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala selebihnya yang ditahan, jika sabit kesalahan akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983,” katanya,

Beliau berkata, lokasi yang dipilih memang sudah dikenal pasti menerusi risikan awal sebagai ‘port’ tumpuan penagih di kawasan berkenaan.

“Mereka pilih kawasan ini agar mereka mudah melarikan diri sekiranya menyedari kehadiran anggota penguatkuasa. Bagaimanapun dalam operasi kali ini kita turut menahan seorang kakitangan awam kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

“Ada juga yang ditahan membawa surah Yassin kononnya mahu mengaburi mata penguatkuasa dengan anggapan kita akan melepaskan mereka apabila tertangkap,” katanya.

Dalam operasi itu, sebanyak 85 buah motosikal serta sebuah basikal turut disita.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");