Kuala Lumpur: Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke belakang parkir kilang percetakan dekat Jalan Riong di sini, malam tadi, ekoran kebakaran sisa industri di lorong belakang premis terbabit.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada orang awam, kira-kira 9.30 malam.
“Usaha memadam kebakaran mengambil masa beberapa minit sahaja. Punca kebakaran masih dalam siasatan, sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak berhampiran, Azmi Abu Bakar berkata, beliau menyedari kebakaran itu sejurus terlihat api yang sedang marak dari tempat kerjanya.
“Saya segera menghubungi bantuan bomba sejurus melihat kejadian kerana bimbang ia akan merebak dan menunggu sehingga mereka sampai memadam kebakaran itu.
“Api marak dengan pantas memusnahkan longgokan bahan buangan yang dikumpulkan pihak tertentu di situ,” katanya.
-Metro