Membawang Hari Ini

Bakat, personaliti taruhan Fizo, Saiful

Kejayaan perniagaan Hot Burger yang diusahakan pelakon dan pengacara, Fizo Omar, 30, sehingga mampu melahirkan 100 usahawan di enam negeri mendorongnya membuka satu lagi perniagaan baru.

Atas inisiatif ingin membantu usahawan kecil, besar dan mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, Fizo Omar Consultant (FOC) ditubuhkan bagi perkongsian manfaat bersama.

“Menerusi syarikat ini saya memberikan ceramah berkenaan keusahawanan. Saya berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam media sosial yang menjadi medium baru dalam perniagaan. Alhamdulillah, setiap minggu tiga hi­ngga empat undangan ceramah saya penuhi.

“Sebelum memulakan langkah itu, saya terlebih dulu pergi belajar de­ngan menghadiri seminar dan mengambil guru peribadi. Selepas mempraktikkannya, baru saya sedar masa depan lebih cerah dalam perniagaan,” katanya.

Jelas Fizo, perkongsian itu mendorongnya menyambung pengajian Ijazah Pengiklanan Media Sosial di Universiti Utara Malaysia selama dua tahun.

Tidak tertumpu pada satu kepakaran semata-mata, FOC kini berkolaborasi dengan syarikat He & She Consultant milik bekas personaliti TV3, Saiful Nizam Ismail.

“Sudah ada beberapa projek sedang dilaksanakan. Pembabitan Saiful Nizam sebagai penceramah lebih kepada perkongsian skil komunikasi.

“Pengalamannya dalam bidang berkenaan dapat membantu golongan usahawan agar lebih berani dan berkeyakinan. Kelebihan sebagai selebriti memudahkan lagi orang ramai memberi kerjasama,” katanya.

Pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 ini melahirkan rasa puas apabila dapat berkongsi manfaat dengan orang ramai.

“Saya berpegang kepada prinsip sebanyak mana kita memberi pasti lebih banyak pulangannya. Apa saya lakukan ini bukan kerana duit tetapi ingin berkongsi ilmu dan manfaat dengan orang lain.

“Keberhasilan mereka selepas menghadiri ceramah beri kepuasan berganda kepada saya,” katanya.

Sepanjang lima tahun pembabitannya sebagai ahli perniagaan, Fizo menerima anugerah Emerging Young Entrepreneurs of The Year 2014 dan terbaru Ikon Usahawan Belia 2015.

Sementara itu Saiful menjelaskan pengalaman 11 tahun dalam bidang penyiaran dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Memandangkan saya kini bukan lagi kakitangan tetap TV3, bolehlah fokus dengan perniagaan ini. Selepas berfikir panjang, saya yakin ini pilihan terbaik.

“Mulanya saya agak takut tetapi selepas beberapa kali mencuba jadi lebih berani dan berkeyakinan.

“Memandangkan kepakaran saya lebih kepada komunikasi, fokus saya lebih kepada mereka yang berminat dalam bidang pengacaraan,” katanya yang masih meneruskan khidmat di TV3 secara kontrak sebagai pengacara dan pembaca berita.

Tambah Saiful lagi, dia bukan sahaja terbabit sebagai penceramah seminar malah, turut mengadakan kelas peribadi.

“Apabila bercakap soal perniagaan banyak perkara boleh dikongsi. Macam apa saya cuba laksanakan dengan Fizo sekarang, diharap kerjasama ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.

Menerusi syarikat He & She Consultant itu, Saiful tidak keseorangan kerana turut dibantu isteri tercinta, Aida dan beberapa individu lain.

Dua rakan baik ini turut menyediakan khidmat rundingan secara peribadi. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung terus menerusi e-mel atau laman sesawang www.fizoomar.com dan [email protected] atau sertai mereka di laman Instagram @fizoomar dan @snizam5.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");