Berita Hari Ini

Bina sekolah dalam kawasan asrama

GUA MUSANG – Kementerian Pendidikan diarahkan supaya membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi dalam kawasan pagar asrama sekolah berkenaan bagi menjaga keselamatan murid Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian murid Orang Asli hilang berulang lagi pada masa akan datang.

Menurutnya, bangunan sekolah yang terletak di seberang jalan berhadapan asrama sekolah tidak lagi sesuai kerana ia menyusahkan murid untuk berulang alik dari asrama ke sekolah.

“Kalau kita tempatkan mereka di asrama dan sekolah pula berada dalam kawasan sama, sudah tentu ia dapat mengatasi masalah kehilangan murid,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan bertemu keluarga mangsa di Pos Tohoi, dekat sini, pagi semalam.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jaslan Yaakub dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan, Nik Man Nik Ya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid termasuk enam daripadanya perempuan hilang dari asrama di SK Pos Tohoi kerana dipercayai takut diambil tindakan oleh guru atas kesalahan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid itu ialah Mirsudiar Alui, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David.7.

Ahmad Zahid berkata, bangunan lama sekolah itu boleh dijadikan kuarters guru dan beliau turut mengakui sekolah luar bandar termasuk kampung Orang Asli tidak pernah dipinggirkan.

Sebaliknya, katanya, kemudahan infrastruktur, kemudahan peralatan dan keperluan guru sentiasa diberi keutamaan seperti juga sekolah kawasan bandar.

Dalam pada itu, beliau ada menerima surat yang diserahkan ibu bapa murid hilang yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak mereka sejak lebih sebulan lepas.

“Saya faham perasaan mereka dan tidak menolak kemungkinan juga murid itu terdedah kepada kejadian jenayah tetapi perkara itu kita serahkan kepada polis.

“Malah, kita juga banyak pasukan risikan sama ada dari PDRM atau ATM yang boleh mengesan perkara itu dan percayalah kita amat prihati dengan masalah yang menimpa kepada keluarga mangsa,” katanya.

Oleh itu, katanya, kawasan pencarian juga akan ditumpukan kepada kawasan bandar kecil sekitar Gua Musang kerana berkemungkinan juga anak mereka disembunyikan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau juga berharap netizen tidak membangkitkan perkara negatif yang boleh mencetuskan suasana tidak baik kepada kaum itu dan juga pasukan penyelamat.

“Mereka harus faham dengan situasi sekarang kerana keluarga mangsa masih bersedih, selain hargailah juga pengorbanan pasukan mencari yang meneruskan usaha itu sejak hari kehilangan lagi,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");