SHAH ALAM – Presiden Amanah, Mohammad Sabu menjelaskan gadis Cina yang bergambar mesra dengannya semasa Himpunan Bersih 4.0 bulan lalu hanyalah dianggap sebagai cucu sahaja.
“Saya ingat dia macam cucu saya. Itu juga bukan jadi amalan kita. Ia berlaku di tengah-tengah ratusan ribu manusia, bukannya di taman bunga dan di tepi pantai,” katanya.
Menurutnya, kejadian tersebut langsung tidak dirancang oleh sesiapa. Orang puluhan ribu datang ambil gambar. Gadis itu bersama bapanya yang berada di sebelah kanan mahu berselfie.
“Anaknya yang begitu muda. Saya ingat dia macam budak sekolah, dianggapnya saya ini macam atuknyalah.
“Saya ingat budak tu macam cucu saya, (ketawa). Di tengah-tengah ramai yang hadir walau saya dikelilingi kawan-kawan yang menjaga. Nak jalan seratus meter pun kadang-kadang sampai sejam. Orang datang ambil gambar,” katanya dipetik Malaysiakini.
Walaupun dikelilingi rakan-rakan yang mengawal pergerakannya, namun Mohamad berkata, tidak dapat berbuat apa-apa dengan kehadiran ratusan ribu peserta yang mahu bergambar dengannya.
Dalam pada itu, Mat Sabu turut menyangkal gerakan Harapan Baru gagal menarik peserta Melayu ke perhimpunan itu.
“Analisis itu sebagai suatu yang tidak adil.
“Kalau ada himpunan Bersih akan datang, kita lihat daripada Parti Amanah Rakyat, akan melimpah di Kuala Lumpur,” katanya.
Bagaimanapun, Mat Sabu berkata, peserta Melayu hanya kurang pada hari pertama perhimpunan tetapi ia bertambah pada keesokkan hari, sekali gus menafikan bahawa Bersih 4.0 adalah himpunan untuk kaum Cina.
-Sinar Harian