Jenayah

Didakwa miliki pelbagai jenis senjata

PASIR MAS – Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini, semalam terhadap empat tuduhan memiliki senjata dalam serbuan yang diadakan dua minggu lalu.

Tertuduh, Asri Kamarudin, 39, bapa kepada seorang anak itu minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah kerambit bersarung warna coklat, panjang lebih kurang 23 sentimeter tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Taman Hakimi, Kampung Gual Tinggi, Gual Sitok, Rantau Panjang pada jam 10.30 malam, 6 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver.22 warna perak buatan sendiri dan sepucuk pistol jenis Beretta PX4 Storm no siri: PX 99206 tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan minimum enam sebatan jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis peluru tanpa kebenaran yang sah pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan memohon jaminan terhadap anak guamnya.

Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin terhadap tuduhan memiliki kerambit.

Beliau bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin terhadap tuduhan memiliki pistol dan peluru.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Oktober depan untuk sebutan semula kes berkenaan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");