Jenayah

Duit gaji lebur dalam sehari

BATU PAHAT: Seorang remaja terpengaruh dengan kegiatan judi dalam aplikasi telefon pintar, WeChat, sehingga wang gaji yang baru diterima sebanyak RM900 ‘lebur’ dalam masa sehari.

Termakan dengan tawaran diberikan seorang rakan dalam aplikasi itu yang menggunakan nama pengenalan Winnie, menyebabkan mangsa, Johari, 22, mula mendekati kegiatan berkenaan.

Johari berkata, dia mula menyedari kewujudan permainan itu awal Jun lalu apabila disapa Winnie.

Katanya, dia diberitahu supaya memuat turun aplikasi ‘Live Games’, tetapi perlu memasukkan duit ke dalam akaun bank yang diberi dan akan menerima ‘ganjaran’ jika menang permainan terbabit.

“Saya mula dengan RM10 hingga RM50, kemudian bertambah kepada RM100 hingga RM200. Saya terus bermain sebab pernah menang RM200 pada awal permainan.

“Selepas itu saya asyik kalah, tapi sebab dah ketagih dan mahukan lagi kemenangan, saya terus bermain sampailah terpaksa berhenti sebab duit habis.

“Saya labur hampir RM900. Memang ada masa akan untung, tapi sebab ketagih, duit itu dipusing semula untuk dibuat modal,” katanya.

Menurutnya, walaupun jumlah kerugian tidak mencecah ribuan ringgit, bagi dia yang baru bekerja, jumlah itu cukup banyak ditambah apabila habis dalam masa sehari.

Katanya, gajinya yang diperoleh daripada bekerja selama sebulan itu ‘hangus’ dan kini terpaksa mengikat perut dan terpaksa berhutang dengan kawan sebelum menunggu gaji berikutnya.

“Saya terus buang aplikasi itu dari telefon dan serik lagi untuk bermain. Walaupun saya tak ceritakan kepada rakan-rakan, namun ada juga kawan yang main.

“Di sini, WeChat agak popular, jadi saya yakin ada yang guna WeChat terima nasib sama macam saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, polis akan terus membasmi kegiatan perjudian walaupun modus operandi sering ditukar.

Menurutnya, kegiatan perjudian menerusi telefon pintar adalah kegiatan baharu dan pihaknya akan menyiasat serta mengambil tindakan tegas seperti mana dilakukan terhadap rumah perjudian sebelum ini.

“Saya menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan aplikasi telefon pintar berkenaan, dan menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengannya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");