Sukan Hari Ini

Felda United cukup bernasib baik

JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic menyifatkan Felda United bernasib baik berjaya mengutip satu mata dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam kelmarin kerana yakin The Red Giants lebih berhak untuk meraih tiga mata penuh.

Pandangan ini disuarakan berdasarkan tempo permainan yang jelas dikuasai anak didiknya namun kegagalan meletakkan bola dalam gawang pelawat memastikan kedua pasukan berkongsi satu mata.

“Mungkin keputusan adil buat Felda United. Saya rasa Selangor lebih banyak peluang dan beraksi lebih baik. Penjaga gawang Felda United, Farizal Harun bertindak cemerlang menafikannya beberapa percubaan berbahaya.

“Jujurnya kami boleh menang sekurang-kurangnya 2-0 atau 3-0. Jadi satu mata ini okey tetapi kami patut boleh dapatkan tiga mata penuh kerana kami beraksi dengan baik dan menguasai permainan,” katanya.

Mengulas kedudukan Selangor dalam Kumpulan C yang berada di tangga ketiga selepas tiga perlawanan, Durakovic percaya setiap pasukan memiliki peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Saingan masih terbuka, sesiapa pun boleh menang pada baki perlawanan akan datang, jika kita ambil peluang, kamu akan menang.

“Inilah Piala Malaysia, penuh dengan kejutan,” ujar pengendali kelahiran Australia itu.

Selepas tewas 0-3 kepada Kelantan di Stadium Shah Alam pada aksi pertama Kumpulan C, Selangor bangkit meraih kemenangan di tempat lawan dengan menewaskan T-Team 1-0 di Kuala Terengganu, minggu lalu sebelum seri 0-0 dengan Felda United di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Namun kekalahan 1-3 Kelantan kepada T-Team menjadikan persaingan dalam Kumpulan C masih lagi terbuka dengan baki tiga lagi perlawanan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");