TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bakal menganjurkan Festival Keamanan pada 20 September ini bersempena menyambut hari kedamaian selain daripada usaha untuk menjadikan Taiping sebagai sebuah Bandar Keamanan.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Datuk Abdul Rahim Md Arif, program ini dilaksanakan adalah untuk menjadikan Taiping sebagai salah satu lokasi yang mampu memikat pelancong-pelancong asing datang ke sini selain mempopularkan nama Taiping sebagai Bandar Keamanan.
“Pulau Pinang dikenali sebagai Bandar Warisan manakala Melaka pula terkenal sebagai Bandaraya bersejarah, jadi saya mengambil keputusan untuk menjadikan Taiping sebagai Bandar Keamanan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke sini’, ujar beliau dalam satu sidang media di sini hari ini.
Ujarnya lagi, Taiping adalah satu-satunya bandar yang menyambut hari kedamaian bersesuaian dengan maksud ‘Taiping’ iaitu aman selama-selamanya.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu juga bakal menyediakan pelbagai program menarik bagi para pengunjung tidak kira peringkat umur khususnya rakyat Perak.
Pada 19 September depan, turut dijangka berlangsung Konvoi Keamanan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan dijangka tiba di Taiping pada pukul 2.30 petang manakala Majlis Jamuan Makan Malam IPD Day bersama Penyelaras Residen PBB Malaysia, MS Michele Gyles Mcdonnough pula dijangka pada jam 7.30 malam bertempat di Pavilion Zoo Taiping.
Manakala pada 20 September ini juga pada jam 7.30 pagi, program program yang bakal dijalankan khusus buat para pengunjung adalah seperti pemeriksaan kesihatan, senaman aerobik, kayuhan keamanan serta persembahan ‘Brass Band’ daripada sekolah–sekolah di Taiping, pertandingan mewarna, pameran basikal klasik dan pameran keamanan.
Turut berlangsung, kayuhan keamanan sepanjang 10 kilometer bermula dari Dataran Kedamaian merentasi pusat Bandar dijangka bakal menjadi tarikan utama kerana acara berbasikal sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk sekitar Taiping.
Dianggarkan lebih 3000 orang pengunjung bakal hadir dan memeriahkan karnival ini sepanjang dua hari ianya dilaksanakan.
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang karnival ini, orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman Facebook ‘Taiping Tourism’ ataupun ‘Tourism Taiping’.