Sukan Hari Ini

Gelora TRW: Pemain tidak dibayar gaji

“BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul” Itu perumpamaan sesuai ditujukan kepada pemain The Red Warriors (TRW) yang berdepan masalah kewangan apabila mereka belum menerima tunggakan gaji, sejak dua bulan lalu.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan, kesemua pemain dan pegawai pasukan itu berasa kecewa apabila pihak persatuan masih gagal melunaskan gaji untuk tempoh dua bulan itu, sehingga hari ini.

“Sekarang sudah pun September namun setakat hari ini mereka (pemain) masih belum menerima gaji untuk bulan Julai dan Ogos. Macam mana hendak bayar ansuran kereta, rumah, bil-bil dan perbelanjaan harian jika gaji tak masuk.

“Pemain pun manusia biasa, mereka perlukan duit untuk menyara keluarga. Jangan ingat tak bayar gaji, maka majikan (Kafa) fikir pemain boleh senang-lenang kerana bola sepak adalah satu-satunya sumber pendapatan utama mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut sumber itu lagi, bertambah malang, pemain cuba mendapatkan maklum balas berkaitan soal gaji itu namun disambut dingin pengurusan tertinggi persatuan itu apabila bertindak mendiamkan diri dalam menangani masalah itu.

“Seboleh-bolehnya pemain tidak mahu memanjangkan isu tunggakan gaji kerana tidak mahu menjejaskan nama baik persatuan namun akhirnya keadaan tidak dapat dielakkan apabila berita ini mula tersebar dan menjadi perdebatan penyokong Kelantan di media sosial, sejak dua hari lalu,” katanya.

Tambahnya, meskipun berdepan kemelut tersebut namun pemain masih lagi boleh bersabar dan ia dibuktikan sebelum ini apabila mereka bermain bersungguh-sungguh sehingga berjaya memastikan Kelantan kekal dalam saingan Liga Super seterusnya layak beraksi pada kempen Piala Malaysia, musim ini,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor tidak berhasil apabila beliau enggan mengulas berhubung kemelut terbaharu yang melanda pasukan itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");